
"SEPATUTNYA tak ada adik-beradik kita yang melarat, sebab ALLAH dah bagi kecukupan".
Demikian pesanan dikongsikan oleh penceramah agama dan jurulatih psikologi bertauliah, Izzhar Nazri menerusi satu sesi perkongsian yang menyentuh tentang pentingnya rasa tanggungjawab sesama adik-beradik, khususnya dalam soal rezeki serta kebajikan keluarga.
Menurutnya, dalam sesebuah keluarga pasti ada yang dikurniakan rezeki lebih, manakala sebahagian lagi mungkin diuji dengan kekurangan.
BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah
Namun, ketidakseimbangan itu tidak seharusnya menjadikan ada antara mereka yang hidup dalam kesempitan.
"Satu anak ALLAH bagi rezeki lebih, tapi ada juga adik-beradik yang kurang sebab itu yang lebih kena bantu yang kurang sama ada rezeki harta ataupun duit.
"Sepatutnya adik-beradik kita dia akan hidup dalam keadaan kecukupan tapi kenapa hidup melarat kadang-kadang tak cukup? Sebab yang kakak tu yang sulung ke bongsu ke tu dia kaya, dia kaya seorang," katanya.
Izzhar dalam masa sama turut menjelaskan, rezeki yang dikurniakan kepada seseorang bukan sekadar untuk dirinya semata-mata, sebaliknya turut mengandungi bahagian untuk ahli keluarga lain yang memerlukan.
Bekas finalis program realiti terbitan TV3, Da'i: Pendakwah Milenia itu turut berpesan bahawa sikap bermegah dengan kekayaan atau memperagakan kemewahan di hadapan adik-beradik hanyalah tanda kelalaian terhadap tanggungjawab sosial keluarga.
“Kalau kita tahu kita ini kira dalam keluarga aku lebih ni, bukan untuk kita nak berbangga-bangga setiap kali raya tukar kereta berlagak dengan kemewahan.
"Duit yang ada itu sebenarnya ada bahagian untuk tolong adik-beradik kita juga," jelasnya.
Katanya lagi, tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang meminta, namun agama juga menegaskan bahawa mereka yang kurang berkemampuan tidak sepatutnya menjadikan amalan meminta sebagai kebiasaan.
"Agama tak ajar kita meminta-minta, agama tak suka kita meminta-minta tapi kita ni ada lebih rezeki harta ni, kena memberi sebab tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima," jelasnya.
Akhir perkongsiannya, beliau mengingatkan bahawa hubungan kekeluargaan yang saling membantu bukan sahaja mengukuhkan ikatan kasih sayang, malah menjadi asbab keberkatan rezeki bagi seluruh ahli keluarga.
Beliau menutup pesanan dengan mengajak masyarakat untuk kembali menilai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga, supaya tiada lagi ahli yang hidup dalam kekurangan sedangkan yang lain hidup dalam kemewahan.
"Duit yang kita ada tu lah sebenarnya ada bahagian adik-beradik kita juga untuk kita tolong," katanya penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram