
SEORANG kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A H1N1 pada Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan bapa kepada arwah Nurhan Eshan Nakquiyuddin menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi hari sama.
Menerusi perkongsian di akaun bernama Ujan Panas, individu berkenaan mengakui reda atas pemergian anak syurga itu.
BACA LAGI: Murid bergejala influenza dinasihatkan berehat di asrama, rumah — KPM
"Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan anak kami. Semoga doa itu berbalik menjadi kebaikan buat kalian semua.
"Kita hanya merancang, tetapi ketentuan ALLAH SWT adalah mutlak. Pemergian anak saya disebabkan Influenza A H1N1 berlaku dalam masa yang singkat.
"Belum sempat menemui penawar, saya sudah kehilangan cahaya mata tersayang,” tulisnya.
Beliau menambah, meskipun hati terasa hancur, mereka sekeluarga tetap reda dan percaya ia semua sudah tertulis di Luh Mahfuz.
"Terima kasih ya ALLAH kerana meminjamkan adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap.
"Peninggalan yang memberi kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan.
"Belum puas kami nak bermain dengannya tapi kami reda ya ALLAH. Ayah, ibu abang Eiman, mbah, nenek semua sayang adek," katanya.
Difahamkan, jenazah Nurhan Eshan daripada Tabika Kemas Kampung Sadong Jaya A itu sedang diuruskan di Hospital Umum Sarawak dan akan di bawa ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Sehingga kini, dilaporkan enam sekolah di Sarawak sudah mempunyai rekod jangkitan influenza A. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram