KERAJAAN mengumumkan peningkatan umur kelayakan skim i-Suri daripada 55 tahun kepada 60 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan usia persaraan minimum bagi memastikan lebih ramai wanita terutama suri rumah mendapat perlindungan sosial yang berterusan.
"Kepada kaum ibu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun selari usia persaraan minimum," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
BACA LAGI: Kerajaan suntik RM50 juta bantu penggiat seni, kraf tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Skim i-Suri bertujuan memberikan perlindungan sosial kepada suri rumah dengan kenaikan umur kelayakan kepada 60 tahun bagi membolehkan simpanan jangka panjang. —Gambar hiasan/Janaan AI
Rata-rata suri rumah menyambut baik langkah kerajaan menaikkan umur kelayakan i-Suri yang dilihat dapat memperkukuh simpanan jangka panjang dan memberi perlindungan sosial.
Pun begitu, menunggu sehingga umur 60 mungkin menyukarkan perancangan kewangan bagi yang memerlukan akses lebih awal.
Bagi suri rumah, Noor Anis Rosnan, 28, beliau mengakui skim i-Suri sangat membantu golongan suri rumah, tetapi menegaskan tidak semua orang mampu menunggu sehingga umur 60 untuk mengeluarkan simpanan.
"Sangat membantu golongan suri rumah, cuma tak semua orang mampu tunggu sampai umur 60 nak guna duit tu awal," katanya.
Justeru, beliau berpendapat umur kelayakan i-Suri sepatutnya kekal pada 55 tahun kerana ramai yang sudah memerlukan simpanan untuk keperluan diri sendiri.
"Bagi saya, kekalkan 55 tahun saje. Waktu itu pun, ramai dah perlukan duit untuk diri sendiri," ujar ibu kepada dua orang anak itu.
Sependapat dengan Anis, Idawaty Jono, 45, turut merasakan menunggu hingga umur 60 tahun untuk mengeluarkan simpanan mungkin menyukarkan perancangan kewangan bagi suri rumah.
Katanya, kerajaan sepatutnya memberi pilihan pengeluaran mengikut keperluan semasa.
'Saya rasa kerajaan patut memberikan pilihan, sama ada ingin mengeluarkan mengikut keadaan semasa.
"Tapi kalau umur 60, saya terpaksa berbincang semula dengan suami untuk merancang perancangan keluarga kami,” jelas ibu kepada tiga anak tersebut.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa pencari kerja dan graduan baharu yang menerima tawaran kerja di lokasi baharu akan menikmati insentif berpindah bernilai hingga RM1,000 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kata beliau, langkah berkenaan adalah untuk meringankan kos permulaan bekerja di tempat baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
