'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha


  • Relaks
  • Khamis, 24 Apr 2025

Kediaman Daiyan dengan konsep industrial moden dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.

MEMILIKI rumah mewah di usia muda adalah impian yang tersemat dalam hati hampir setiap insan.

Ia bukan sekadar tempat berteduh, tetapi simbol pencapaian, kebebasan dan hasil usaha gigih yang tidak ternilai.

Dalam dunia serba pantas hari ini, ramai anak muda bercita-cita untuk mencapai kestabilan hidup lebih awal dan memiliki kediaman sendiri yang indah, luas serta selesa.

BACA LAGI: Warna biru, hijau beri ketenangan, 5 lagi elemen dekorasi pejabat kurangkan stres pekerja

BACA LAGI: Syawal masih on! 5 tip deko 'last minute' rumah terbuka raya buat tetamu lebih selesa

Impian itu sering dibayangkan sebagai sebuah rumah moden dengan reka bentuk elegan, ruang yang lapang, perabot eksklusif dan suasana tenang.

Rumah dianggap sebagai tempat yang bukan hanya cantik hiasan dekorasinya, tetapi juga menjadi ruang peribadi untuk berehat, bersantai dan merancang masa depan.

Bagi sesetengah orang, rumah idaman itu mungkin juga dilengkapi dengan halaman hijau, kolam renang atau studio peribadi yang mencerminkan gaya hidup mereka.

relax area at resort

Memiliki rumah mewah di usia muda menjadi impian setiap insan.

Namun, di sebalik keinginan itu, terletak satu realiti yang tidak semua berani tempuhi iaitu jalan yang penuh cabaran, pengorbanan masa, tenaga dan kadangkala air mata.

Tetapi kerana impian itu begitu besar, ramai sanggup berusaha keras, mengejar peluang, belajar tanpa henti, dan bekerja siang malam demi merealisasikannya.

Pengorbanan seperti pelakon, penyanyi dan pencipta lagu, Daiyan Trisha yang berjaya memiliki rumah impiannya pada usia muda menjadi bukti bahawa ia bukan mustahil.

Daiyan memiliki kediaman memukau dengan konsep reka bentuk yang menggabungkan elemen minimalis moden dan sentuhan semula jadi.

Daiyan seorang figura seni yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air, kini melakar satu lagi pencapaian membanggakan dalam kehidupannya.

Melalui perkongsian terbarunya di media sosial, pelakon berusia 31 tahun itu memperkenalkan rumah baharunya yang menjadi lambang kepada segala usaha, pengorbanan dan kerja keras yang telah dilaluinya selama ini.

Rumah banglo dua tingkat itu bukan sekadar sebuah tempat tinggal, tetapi ruang peribadi yang dibina dengan penuh kasih sayang dan makna tersendiri.

Daiyan sendiri memilih setiap bahan yang diguna pakai untuk membina interior idamannya.

Menerusi perkongsian Daiyan, kediaman dimilikinya itu dipukau dengan konsep reka bentuk yang menggabungkan elemen minimalis moden dan sentuhan semula jadi.

Warna-warna lembut seperti putih, beige dan coklat mendominasi ruang dalam rumah, mencipta suasana nyaman, tenang dan sangat peribadi.

Setiap perincian seperti pemilihan perabot, susun atur ruang, pencahayaan dan tekstur dipilih dengan teliti bagi mencerminkan cita rasa estetik Daiyan yang halus dan berseni.

Menariknya, rumah ini turut menampilkan elemen reka bentuk dalaman berkonsepkan industrial moden yang ketara pada struktur tangganya yang diperbuat daripada gabungan besi dan kayu.

Reka bentuk itu bukan sahaja menambah nilai estetika tetapi juga memberi karakter tersendiri kepada kediaman tersebut.

Dari foyer ke ruang tamu, ke dapur terbuka luas, hingga ke bilik tidur yang tenang dan walking wardrobe elegan, semuanya direka dengan satu tujuan untuk mencipta ruang mendamaikan minda dan menyuburkan jiwa.

Daiyan juga dilihat memilih tema zen garden sebagai landskap utama, lengkap dengan kolam renang yang terletak di tengah-tengah ruang hijau yang rapi dan berseni.

Suasana ala Jepun dengan susunan batu, pokok bonsai dan laluan kecil yang tenang menjadikan ruang ini tempat yang ideal untuk refleksi diri sekali gus berehat dari kesibukan dunia hiburan.

Reka bentuk rumah Daiyan juga mendapat pujian daripada pengasas jenama gaya hidup dan fesyen tempatan, Furby & Sugar, Januar Haikal yang berpendapat 'interior' dipilih aktress tersebut sesuai dengan personalitinya.

"Ini adalah antara rumah selebriti Malaysia yang Bang Janu suka sebab rumah kosong pun architecture dan interior rumah dia cantik.

"Baca dekat komen ada yang kata rumah ini (rumah Daiyan) RM4.9 juta dan hampir RM25,000 sebulan juga.

"Interior dia memang kena dengan Daiyan, 'suits her well'," katanya dalam X.

 

 

Sebelum ini, Daiyan meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dapat memiliki rumah impian itu.

Bagi Daiyan, setiap sudut rumah itu adalah bukti bahawa impian, apabila diiringi dengan usaha dan keikhlasan, pasti akan menjadi nyata.

Dia juga sempat memberikan motivasi kepada para pengikutnya agar terus melakukan apa yang disukai dan jangan pernah berhenti berbuat baik sesama manusia kerana dari situlah rezeki yang sebenar akan datang.

Kediaman Daiyan bukan hanya mengundang kekaguman ramai kerana keindahan reka bentuknya, tetapi juga menjadi simbol kepada harapan, perjuangan dan keyakinan terhadap impian sendiri.

Rumah itu adalah bukti bahawa apabila seseorang berani bermimpi besar dan bekerja sepenuh hati, ganjaran yang datang bukan sahaja dalam bentuk material, tetapi juga dalam ketenangan dan kepuasan jiwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram