Belanjawan MADANI 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion, terap ilmu digital AI


  • Maya
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Kerajaan menetapkan peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion tahun hadapan. — Gambar hiasan

KERAJAAN menetapkan peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion tahun hadapan bagi mempertingkatkan peluang pendidikan dan latihan khususnya dalam menyokong sektor berkeutamaan tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis TVET Negara menerima 45 juta ringgit antaranya bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan AI kepada 10 ribu pelajar tahfiz serta pondok melalui Program IPT@Komuniti.

BACA LAGI:Murid sekolah kerajaan, murid OKU bakal terima bantuan awal persekolahan RM150, pihak sekolah akan serah kepada ibu bapa 

BACA LAGI: RM1.26 bilion perkasa kebajikan warga emas, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 bakal lancar November ini

"Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan 34 juta ringgit.

"GiatMARA turut menawarkan latihan kepada lebih 13 ribu golongan tumpuan termasuk pekerja gig.

"Kolej Komuniti dalam masa sama akan menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk komuniti rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan tiga juta peluang latihan terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.

Menurutnya, PTPK pula menyediakan pembiayaan RM650 juta untuk manfaat lebih 25,000 pelatih terutamanya bidang Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

"Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan RM34 juta," ujarnya.

Untuk rekod, ia merupakan belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ia sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang bagi meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan MADANI sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram