
BAGI mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak dan mendidik generasi, kerajaan bercadang pelepasan cukai pendapatan individu 3,000 ringgit ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dari sekecil-kecil tangan ibu yang mengasuh anak hingga yang memecah siling kaca; pemerkasaan wanita tidak sesekali dilihat sebagai ihsan, tetapi keadilan yang wajib ditunaikan.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: KWSP kaji mekanisme pindah simpanan ke akaun ahli keluarga terdekat
"Kerajaan bercadang pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak.
"Kanak-kanak yang berumur hingga 6 tahun diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar, manakala bagi anak yang berumur hingga 12 tahun berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2026," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, kerajaan turut membela nasib 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman bagi penyelesaian kes-kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak.
Seorang ibu kepada seorang cahaya mata, Nurul Afifah menyifatkan langkah diambil kerajaan MADANI menerusi belanjawan 2026 itu satu keputusan yang memberi manfaat buat golongan berkeluarga.
"Alhamdulillah syukur bila ada pengumuman yang berkaitan ibu bekerja dan berkeluarga, sekurangnya bebanan tu dikurangkan sebab nak hantar anak yuran sekolah taska pun mahal sekarang, bila ada pelepasan cukai ni harap membantu la.
"Selalu wanita ataupun isteri bekerja ni jarang dapat perhatian sangat dalam belanjawan, tapi PMX (Anwar Ibrahim) utamakan tahun ni, lega la bila kami diberi bantuan, tengok tahun depan macam mana," katanya kepada Majoriti.
Nurul Afifah (kanan) merupakan seorang wanita berkerjaya sebagai akauntan.
Dalam pada itu, Afifah yang merupakan seorang akauntan berharap agar golongan wanita bekerja terus dibantu pihak kerajaan kerana mereka menurutnya turut memikul tanggungjawab serta peranan besar pada ekonomi.
"Sekarang boleh kata hampir semua wanita ataupun isteri bekerjaya, sebabkan ekonomi memaksa kalau tak kerja susah urusan kewangan, harapnya lebih banyak bantuan akan datang daripada PMX," tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bantuan dari segi ekonomi pula, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Bank turut menyediakan pembiayaan sebanyak RM 270 juta bagi menyokong usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) wanita.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
MENYUSUL..