Dulu nak makan burger pun tak mampu, pengasas Jollibee kini jutawan bergelar 'raja makanan segera'


  • Bisnes
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Tony melakar sejarah dalam industri makanan dan minuman yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. — Agensi

DARIPADA hanya pencuci pinggan di restoran milik keluarganya, Tony Tan Caktiong kini bergelar jutawan dan dianggap sebagai 'raja makanan segera' di Filipina.

Pengasas dan Pengerusi Jollibee Foods Corp (JFC) itu membuktikan bahasa usaha dan keberanian dalam mengambil risiko serta memahami citarasa tempatan mampu menyaingi pasaran antarabangsa.

Siapa sangka, kehidupan Tony ternyata penuh dengan cabaran dan kepayahan.

BACA LAGI: Bayar sewa, belanja sekolah sendiri, anak yatim piatu di Kota Bharu tak tersasar, tetap usaha belajar

BACA LAGI: Tak mudah jadi diri sendiri, perlu konsisten, CEO Santan dedah realiti galas tanggungjawab 'tonggak' syarikat

Tony Tan Caktiong kini berusia 71 tahun.  — Agensi

Pada 1975, keluarganya di Davao, Filipina hanya mampu membeli beras seadanya untuk dimakan sekeluarga.

Manakala, daging dianggap sebagai hidangan mewah hanya dapat dinikmati sebulan sekali, malah adik-beradiknya juga kerap tidur dalam keadaan berlapar.

Lebih menyedihkan apabila ibunya sering mencairkan sup supaya cukup untuk diberikan kepada anak-anaknya selain bapanya terpaksa membuat tiga pekerjaan serentak bagi menyara keluarganya.

Hidangan harian mereka hanyalah nasi bersama sayur-sayuran, sementara ayam perlu dimakan ketika majlis istimewa.

Pengalaman itu sekali gus membentuk misi hidup Tony bagi memastikan orang ramai mampu menikmati protein setiap hari.

Disebabkan tidak mampu untuk membeli burger, Tony memutuskan untuk menghasilkan dan menjual burgernya serendah RM8 (AS$2).

Kedai Jollibee pertama yang dibuka pada 1978.  — Agensi

Dari penjaja ais krim ke restoran kecil

Pada usia 14 tahun, Tony mula membantu keluarganya dengan menjual ais krim menggunakan kereta sorong.

Upahnya sekitar 50 sen sehari digunakan sepenuhnya untuk membeli makanan.

Baginya, impian paling besar ketika itu hanyalah menyediakan daging setiap hari untuk keluarganya.

Kereta sorong ais krim itu pula menjadi 'kelas pembelajaran' pertamanya dalam dunia perniagaan.

Pada 1978, dengan wang sebanyak RM8,000 (AS$2,000) yang dipinjam daripada bapanya, Tony membuka sebuah kedai ais krim.

Tony kemudiannya mengubah haluan perniagaan kepada sajian panas seperti burger dan ayam goreng selepas menerima permintaan ramai.

Keputusan itu secara tidak langsung membawa kepada kelahiran menu ikonik di Jollibee iaitu 'Yamburger' dan 'Chicken Joy' yang terus mendapat sambutan hangat seluruh rakyat di negara itu.

Kini, JFC bernilai kira-kira RM16 bilion (AS$4.68 bilion) dengan lebih 6,300 cawangan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan menggaji lebih 36,000 pekerja.

Cawangan pertama Jollibee di Kota Kinabalu, Sabah pada 2018. — Agensi

Di Filipina sahaja, Jollibee antara syarikat makanan segera yang mempunyai bilangan cawangan dan pendapatan tertinggi dibandingkan dengan jenama besar lain.

Pandemik Covid-19 bagaimanapun memberi tamparan hebat kepada perniagaan makanan dan minuman seperti restoran.

Ketika itu, saham JFC merosot lebih 40 peratus dan syarikat menanggung kerugian bersih RM671 juta (AS$159 juta) pada 2020.

"Jika anda bermimpi besar dan melaksanakannnya, anda akan buat kesilapan selama-lamanya.

"Jangan takut untuk membuat kesilapan. Hanya cepat mengenalinya dan belajar daripadanya secepat yang anda boleh.

"Belajar daripada setiap kesilapan dan ia tidak akan membuang masa," katanya.

Namun, strategi dan usahanya untuk bangkit terus menjadikan empayarnya semakin kukuh.

Menurut Tony, nama Jollibee dan logo lebah dipilih kerana ia melambangkan kerja keras, kegembiraan dan semangat berpasukan seiring aspirasi jenama tersebut.

"Sekolah sebenar yang saya pelajari ialah school of hard knocks dan saya masih terus belajar hingga ke hari ini," jelasnya.

Selain dihormati sebagai antara majikan terbaik dunia, Jollibee juga pernah menerima anugerah Syarikat Mesra Wanita Terbaik Dunia serta memenangi gelaran Usahawan Terbaik Dunia pada 2004. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram