Jenuh berjiran dengan si 'hoarder', tak sanggup nak hadap, ini tindakan undang-undang boleh diambil


  • Hias
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Sikap penduduk yang mempunyai sindrom 'hoarder' mampu menjejaskan urusan kejiranan. — Gambar hiasan

TIMBUNAN barangan peribadi seorang penghuni di sebuah pangsapuri baru-baru ini mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk.

Menerusi video tular di media sosial sejak Jumaat, satu daripada koridor di pangsapuri berkenaan dipenuhi dengan kotak, beg dan perabot rumah sehingga menghalang laluan penghuni lain.

Situasi dipanggil sebagai hoarder itu berlaku apabila seseorang terlalu obses menyimpan sesuatu barang secara berlebihan sehingga melampaui keperluan sehingga tidak sanggup membuang atau melepaskannya.

BACA LAGI: Ada 8 model 'rat-walk', Ella dapat 'gaji' lebih RM10,000 jual seni unik

BACA LAGI: 'Saya cuba keluarkan kepalanya', bapa pertaruh nyawa selamatkan anak sebelum dibaham buaya di Sarawak

Berdasarkan aspek psikologi, ia juga merujuk kepada hoarding disorder iaitu gangguan mental melibatkan rasa sukar untuk membuang barangan walaupun tidak digunakan.

Bukan sahaja mengganggu pandangan, ia turut memberi halangan kepada penduduk lain atau jiran berhampiran untuk melalui laluan yang sama.

Justeru, peguam Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar tampil memberi penjelasan daripada aspek undang-undangnya.

Muhammad Akmal berkata, perbuatan yang menghalang laluan di koridor, tangga atau pintu kecemasan jelas melanggar beberapa peruntukan undang-undang.

Berikut merupakan beberapa rangka undang-undang yang terpakai dalam kes berkenaan.

1. Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013)

Akta induk tadbir urus bangunan strata dan common property (koridor, tangga, lobi, laluan kecemasan).

Akta ini mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Tribunal Strata (SMT) untuk penguatkuasaan undang-undang.

2. Peraturan Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2015

Mengandungi By-Laws berkanun (Third Schedule) yang mengikat semua pemilik atau penghuni.

By-laws lazimnya melarang apa-apa halangan atau penyimpanan di laluan, tangga, pendaratan, pintu keluar kebakaran.

3. Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Menetapkan keperluan laluan keluar yang tidak boleh disempitkan atau dihalang sepanjang laluan ke pintu keluar.

Halangan pada koridor dan tangga bercanggah dengan piawaian keselamatan kebakaran.

4. Akta Perkhidmatan Bomba 1988

Memberi kuasa kepada pihak bomba untuk keluarkan notis kebakaran dan mengambil tindakan jika ada bahaya kebakaran atau halangan laluan menyelamat termasuk tindakan segera jika berbahaya.

5. Tribunal Pengurusan Strata (SMT)

Forum khusus dan cepat untuk memaksa pematuhan by-laws termasuk perintah menanggalkan halangan.

Beliau pada masa sama menjelaskan beberapa langkah atau tindakan boleh diambil oleh jiran yang menghadapi situasi tersebut.

"Jiran boleh membuat aduan bertulis kepada JMB dengan maklumat lengkap beserta gambar dan lokasi.

"Maklumkan kepada bomba jika laluan kecemasan terjejas kerana risiko kebakaran.

"Rujuk kepada SMT sekiranya pengurusan gagal bertindak, penghuni boleh menuntut perintah menanggalkan halangan di tribunal.

"SMT adalah saluran paling cepat dan kos efektif. Jangan tunggu sampai berlaku kemalangan atau kebakaran baru nak ambil tindakan," katanya kepada Majoriti.

Untitled design - 5

Selain tindakan oleh penduduk, pihak pengurusan pangsapuri turut disarankan untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap peraturan berkenaan.

Cadangnya, pelaksanaan peraturan atau undang-undang perlu dilakukan dengan lebih tegas.

"Melakukan klausa larangan yang jelas dengan menyatakan larangan meletak dan menyimpan apa-apa barang di koridor, pendaratan, tangga, hadapan pintu, ruang meter, bilik pam atau elektrik dan semua laluan keluar kecemasan.

"Tetapkan minimum larangan menghalang laluan serta prosedur notis bertingkat dan kuasa pemindahan.

"Tetapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti notis pertama, tujuh hingga 14 hari dan notis terakhir.

"Seterusnya, pemindahan barang oleh pengurusan jika ingkar dan kos pemindahan atau penyimpanan ditanggung pemilik," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram