Kidslympic Malaysia 2025: Lebih 3,000 peserta bakal meriahkan pesta sukan kanak-kanak terbesar negara


  • Bonda
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Lebih 3,500 kanak-kanak bakal memeriahkan acara Kidslympic Games Malaysia 2025 yang berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober ini.

DALAM usaha memupuk minat sukan sejak usia muda, Malaysia bakal menyaksikan penganjuran pesta sukan kanak-kanak terbesar Kidslympic Games Malaysia 2025, yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober ini.

Acara dijangka menjadi sambutan sukan kanak-kanak paling meriah tahun ini tersebut bakal menghimpunkan lebih 3,500 peserta dari seluruh negara untuk menyertai pelbagai acara seperti olahraga, bola sepak, bola tampar, dan gimnastik.

Menurut Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, Wong Kang Woon, kejayaan acara Larian Kidslympic Malaysia Selangor di Gamuda Gardens, Rawang hujung bulan lalu itu menjadi pembakar semangat untuk penganjuran peringkat nasional kali ini.

BACA LAGI: Kisah pilu di sebalik tirai besi, polis 'murah hati' izinkan banduan lepas rindu peluk, tidur dengan anak

BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah

Acara Larian Kidslympic Malaysia mendapat sambutan hangat kanak-kanak dan ibu bapa.

"Acara larian di Selangor menunjukkan kepada kami semangat dan tenaga luar biasa keluarga Malaysia.

"Kini kami sedang menghitung hari ke acara utama Kidslympic Games Malaysia 2025 dan Grand Finale Kidslympic Malaysia Run di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur di mana seluruh negara akan bersatu meraikan ketrampilan kanak-kanak dan belia, perpaduan dan semangat Kidslympic," katanya.

Acara itu berjaya mencetuskan suasana penuh warna-warni dengan penyertaan lebih 800 kanak-kanak dan keluarga di Gamuda Gardens.

Dengan sokongan padu daripada Affin Bank, Watsons Malaysia, Gamuda Gardens, VICTOR Malaysia serta komuniti setempat, program tersebut berjaya mencapai matlamatnya menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan generasi muda.

Kemuncak acara turut menjadi tumpuan apabila berlangsungnya Klinik Badminton Kidslympic Goh Liu Ying, yang memberi peluang kepada 35 atlet muda bertuah menimba ilmu secara langsung dengan pemenang pingat Olimpik negara, Goh Liu Ying.

Goh Liu Ying berkongsi pengalaman bersama 35 kanak-kanak terpilih pada Larian Kidslympic Malaysia Selangor di Gamuda Gardens bulan lalu.

Berbekalkan pengalaman meluas di pentas badminton dunia, bekas atlet beregu campuan negara itu bakal berkongsi motivasi, teknik dan dorongan generasi muda untuk aktif dalam sukan badminton.

Ia sekali gus menepati matlamat utama penganjur untuk menjadikan sukan sebagai jambatan penyatuan masyarakat.

Dengan sambutan luar biasa yang diterima, Kidslympic Games Malaysia 2025 dijangka menjadi acara kemuncak tahun ini yang bukan sekadar meraikan sukan, tetapi juga mendidik kanak-kanak tentang disiplin, kerjasama dan semangat juang sejati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram