
MASALAH berat badan sering kali berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup kurang sihat yang menjadi amalan segelintir masyarakat.
Tidak hanya tertumpu kepada lelaki, golongan wanita hari ini juga semakin ramai yang cakna tentang tip dan penjagaan kesihatan khususnya dalam konteks obesiti.
Isu paling hangat diperkatakan adalah kesan lemak di bahagian perut yang umumnya meninggalkan kesan mendalam terhadap imej serta keyakinan diri seseorang wanita.
BACA LAGI: Wajah tampak muda, pelakon Hong Kong ditahan kastam Thailand, tak percaya usia 59 tahun!
Menurut pakar kecergasan dan jurulatih gimnasium Nickhin Hussien di laman Threads, lemak perut (visceral fat) antara yang paling degil untuk dihapuskan, terutama bila melibatkan faktor hormon seperti cortisol tinggi, rintangan insulin dan bebanan estrogen berlebihan.
Jelasnya, antara kesilapan sering dilakukan dalam usaha menurunkan berat badan ialah individu terlampau fokus kepada penurunan kadar kalori dan diet semata-mata.
Berikut merupakan sembilan langkah terbukti berkesan secara saintifik yang boleh membantu wanita turunkan lemak perut dengan lebih cepat.
1. Sarapan awal, bantu kawal gula
Wajib bersarapan pagi dalam tempoh sejam selepas bangun tidur dengan pengambilan protein (25–35g) dan lemak sihat seperti telur atau avocado perlu dijadikan amalan.
Cara itu menurutnya membantu stabilkan insulin, kurangkan rasa lapar dan tingkatkan metabolisme sejak pagi.
2. Kawal karbohidrat
Setiap kali makan karbo, pastikan ia disertakan dengan protein ataupun lemak sihat.
Tujuannya ialah mengelak lonjakan gula darah (insulin spike) yang membuat badan sukar membakar lemak contohnya, hidangan nasi atau roti sebaiknya digabungkan dengan lauk berprotein atau sayur berserat.
3. Utamakan protein setiap hidangan
Pastikan setiap hidangan mengandungi 25 hingga 40g protein seperti ikan, telur, ayam organik atau tempe.
Protein membantu meningkatkan metabolisme, seimbangkan hormon dan baiki tisu otot yang menjadi faktor penting mengecilkan perut.
4. Senaman brisk walk
Bagi wanita yang stres atau tak cukup tidur, senaman terlalu berat sebenarnya hanya meninggalkan kesan keltihan dan risiko kecederaan.
Sebaliknya, aktiviti berjalan sebanyak 8,000 hingga 10,000 langkah sehari sebelum makan membantu menstabilkan hormon stres dan kurangkan pengumpulan lemak di perut.
5. Tidur fat burner semula jadi
Tidur tujuh hingga lapan jam sehari ialah antara rahsia utama pembakaran lemak yang efektif.
Pastikan tidur sebelum pukul 10 malam dan elakkan skrin gajet sejam sebelum tidur kerana ia membantu tubuh untuk mengaktifkan proses detoks semula jadi.
6. Buang lebihan estrogen badan
Ambil sayuran cruciferous seperti brokoli, kubis dan chia seed untuk bantu tubuh seimbangkan hormon.
Malah, minum sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air sehari juga sangat penting untuk proses detoks kerana apabila estrogen seimbang, hormon dan metabolisme bergerak lebih efisien sekali gus mengecilkan perut.
7. Elak 'perangkap' diet
Ramai kurang cakna bahawa tiga amalan dan diet berikut boleh melambatkan penurunan berat badan:
- Diet terlalu rendah kalori (perlahan metabolisme)
- Diet rendah lemak (ganggu hormon)
- Snek sihat tapi tinggi gula tersembunyi
Utamakan amalan membaca label makanan dengan nutrisi dan isi kandungan rendah gula, rendah lemak serta tinggi protein.
8. Jaga kesihatan usus
Usus yang sihat membantu dalam soal pengawalan hormon serta pencernaan dengan baik.
Sumber probiotik seperti yogurt dan herba halia menjamin usus yang sihat, hormon seimbang serta penurunan berat badan secara drastik.
9. Kawal stres
Tanpa disedari, tekanan dan stres merupakan antara penyebab utama lemak terkumpul di perut.
Sebaiknya amalkan senaman pernafasan, brisk walk ataupun aktiviti menenangkan kerana apabila minda tenang, tubuh lebih mudah membakar lemak dan menstabilkan hormon.
Kunci utama dalam konteks diet adalah bukan sekadar kurangkan kalori, tetapi baiki keseimbangan hormon dan gaya hidup secara keseluruhan.
Usaha menghilangkan lemak perut bukan sekadar tentang mengurangkan kalori atau bersenam tanpa henti, sebaliknya gaya hidup sihat berupaya memberi kesan positif terhadap tubuh dan minda yang bertenaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram