Fasa 'antepartum' ramai ibu hamil terlepas pandang, hanya fokus trimester awal, saat bersalin


  • Bonda
  • Rabu, 08 Okt 2025

Fasa antepartum merupakan tempoh akhir dilalui golongan ibu mengandung selepas minggu ke-20 kehamilan. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEBANYAKAN ibu hamil lazimnya memberi tumpuan pada trimester awal dan saat kelahiran, tetapi sebenarnya ada satu fasa penting yang sering terlepas pandang iaitu antepartum.

Fasa tersebut dianggap antara peringkat paling kritikal kerana ia menentukan sama ada proses kehamilan berjalan lancar atau sebaliknya.

Antepartum merujuk kepada tempoh sebelum kelahiran iaitu selepas minggu ke-20 hingga sebelum bersalin.

BACA LAGI: 'Bila tengok mereka kena tangkap, torture, saya tak kuat', Elfira Loy pernah berhasrat 'join' Sumud Flotilla, kagum semangat sukarelawan

BACA LAGI: Setiap posisi maksud berbeza, 6 kedudukan bayi dalam rahim penentu ibu mudah bersalin atau tidak

Dalam erti kata mudah, ia merupakan detik di mana fizikal dan kehamilan seseorang individu sedang dalam persediaan untuk menyambut kelahiran bayi.

Menurut kajian agensi, tempoh tersebut sangat penting kerana ia melibatkan banyak perubahan fizikal dan emosi pada tubuh serta pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi.

Fasa antepartum melihatkan si ibu akan mula melalui perubahan pada saiz fizikal dan emosi. — Gambar hiasan/Freepik

Antara perubahan utama yang berlaku dalam fasa berkenaan termasuklah:

- Penambahan berat badan dan perubahan hormon drastik.

- Bengkak pada kaki, tangan atau muka.

- Kerap ke tandas.

- Gangguan tidur dan perubahan selera makan.

- Pemeriksaan penting seperti GDM (diabetes semasa hamil), Hb (hemoglobin) dan BP (tekanan darah).

Selain itu, ia juga merupakan waktu terbaik untuk ibu membuat keputusan berkaitan kaedah kelahiran dan kesiapsiagaan mental menghadapi detik bersalin.

Kepentingan fasa antepartum

Fasa antepartum memainkan peranan besar dalam mengesan risiko awal komplikasi kehamilan dan berikut antara masalah boleh dikenal pasti:

- Pre-eclampsia (tekanan darah tinggi semasa hamil)

- Gestational diabetes (kencing manis semasa hamil)

- Placenta previa (kedudukan uri tidak normal)

- IUGR atau Intrauterine Growth Restriction (bayi tidak membesar mengikut usia kandungan)

Sekiranya semua komplikasi tersebut dikesan awal melalui pemeriksaan berkala, rawatan atau pemantauan pakar perlu segera dilakukan bagi mengelakkan risiko lebih serius terhadap ibu dan bayi.

Kesimpulannya, fasa antepartum bukan sekadar tempoh menunggu detik kelahiran, tetapi merupakan masa paling penting untuk memastikan kesihatan serta kesejahteraan ibu dan bayi terpelihara.

Malah, persediaan ibu terhadap perubahan fizikal serta emosi juga membantu dari aspek persiapan menjelang kelahiran agar ia dihadapi dengan lebih yakin dan tenang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram