Wajah tampak muda, pelakon Hong Kong ditahan kastam Thailand, tak percaya usia 59 tahun!


  • Gaya
  • Selasa, 07 Okt 2025

Carman Lee mencuri perhatian apabila dilihat masih mengekalkan fizikal dan rupa paras menawan walaupun berusia 58 tahun.

DALAM industri hiburan, penampilan dan personaliti individu menjadi antara keutamaan yang menjadikan seseorang penghibur itu relevan di hadapan lensa kamera.

Malah, segelintir daripadanya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengekalkan kecantikan luar dan dalaman yang seolah-olah dilihat bertentangan dengan usia sebenar mereka.

Antara paling menonjol, pelakon legenda Hong Kong, Carman Lee yang baru-baru ini kembali tular di laman sosial apabila ditahan pegawai kastam Thailand kerana didakwa menipu usia sebenar.

BACA LAGI: 'Bila tengok mereka kena tangkap, torture, saya tak kuat', Elfira Loy pernah berhasrat 'join' Sumud Flotilla, kagum semangat sukarelawan

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Aktres cantik berusia 59 tahun itu sebelum ini mendedahkan dirinya pernah dihalang memasuki Thailand apabila pihak berkuasa meragui pasport miliknya, ekoran wajahnya yang kelihatan terlalu muda berbanding usia sebenarnya.

Selang beberapa minggu pendedahan itu dikongsi, bintang filem Return of the Condor Heroes (1995) itu kembali tular apabila dilihat santai mengenakan crop top kelabu dan seluar sukan hitam dengan persona yang cukup anggun di khalayak ramai.

Rakaman itu segera mencetuskan pelbagai reaksi, dengan rata-ratanya tidak henti-henti memuji kecantikan rupa paras dan fizikal tubuhnya yang masih cergas walaupun hampir mencecah usia 60 tahun.

Rahsia awet muda

Dalam satu temu bual terdahulu, Carman turut berkongsi rahsia kecantikannya yang hanya mengamalkan rutin senaman konsisten tanpa sebarang rawatan pembedahan kosmetik.

Pelakon itu mendedahkan bahawa beliau sentiasa meluangkan masa lebih sejam setiap hari di gimnasium, selain melakukan latihan angkat beban di rumah.

Baginya, kecantikan sebenar bermula daripada kesihatan tubuh dan penuaan bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya proses yang perlu diraikan.

"Penuaan membawa saya kebijaksanaan, kita tidak boleh melawan masa, tapi kita boleh menjaganya dengan cara yang sihat dan positif," katanya menerusi satu temu bual.

Dalam dunia hiburan yang sering menilai wanita melalui rupa paras, Carman tampil membuktikan bahawa kecantikan sebenar datang daripada gaya hidup sihat dan ketenangan jiwa.

Tidak hairanlah jika ramai masih terpesona bukan sekadar kerana wajah mudanya, tetapi kerana cara beliau menghargai setiap fasa kehidupan dengan penuh yakin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram