
MAJLIS perkahwinan adalah hari yang paling dinantikan oleh setiap pasangan.
Ia bukan sekadar penyatuan dua jiwa, tetapi juga detik untuk diraikan bersama keluarga dan sahabat handai.
Oleh sebab itu, persiapan rapi amat penting bagi memastikan acara berjalan lancar tanpa sebarang kekurangan yang boleh menjejaskan kenangan indah tersebut.
BACA LAGI: Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, ini 5 pesanan penuh makna seorang bapa untuk anak-anaknya
Untuk mengelakkan rasa kecewa selepas majlis berlangsung, berikut ialah empat perkara penting yang dikongsi oleh penyedia perkhidmatan dewan acara, Brick and Glass menerusi satu hantaran di Instagram mereka:
1. Tempah makanan ikut pax formula
Elakkan membuat tempahan makanan mengikut jumlah jemputan semata-mata.
Sebaliknya, gunakan formula mudah yang biasa digunakan pihak katering iaitu jemputan dibahagi dua bersamaan dengan jumlah pax makanan.
Sebagai contoh, jika anda menempah makanan untuk 1,000 orang tetamu, anda hanya perlu menjemput 500 orang sahaja.
Ini kerana kebiasaannya sebahagian tetamu datang bersama ahli keluarga yang ramai. Jadi, untuk mengelakkan masalah ketidakcukupan makanan, gunakan formula ini.
2. Sediakan playlist lagu dalam pendrive
Jangan bergantung pada sambungan internet untuk memainkan muzik majlis.
Elakkan menggunakan aplikasi strim seperti Spotify atau YouTube kerana masalah talian internet boleh membuatkan majlis anda senyap tanpa muzik latar.
Solusi mudahnya adalah sediakan pendrive yang mengandungi senarai lagu pilihan anda, sama ada untuk saat ketibaan pengantin, acara makan beradab atau sesi santai.
Salam restu ketika majlis sanding boleh menjadikan majlis berjalan lebih panjang. — Facebook/Dpersada Broqah
3. Elak sesi salam restu ketika bersanding
Ramai pasangan memilih untuk mengadakan sesi salam restu ketika bersanding di pelamin, tetapi ia sebenarnya boleh memenatkan kerana tetamu terlalu ramai.
Bukan itu sahaja, malah majlis juga akan berjalan lebih panjang sehingga menjadikan masa ibu bapa pengantin untuk beramah mesra bersama tetamu terhad.
Sesi ini disarankan untuk dibuat selepas akad nikah. Ketika itu suasana lebih intim, tetamu pula kebanyakannya terdiri daripada keluarga rapat.
Ia memberi ruang untuk momen yang lebih bermakna dan peribadi.
4. Turun dari pelamin dan beramah mesra
Jangan hanya duduk di pelamin sepanjang majlis. Turun seketika untuk beramah mesra dengan tetamu.
Ucapkan terima kasih dan ambil peluang untuk bergambar bersama mereka.
Langkah ini menunjukkan penghargaan kepada tetamu yang hadir meraikan anda.
Selain itu, ia juga menjadikan majlis lebih mesra dan bermakna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram