
KEJADIAN yang menimpa ibu kepada penyanyi popular Misha Omar, Zainan Mat. Nor membuka mata ramai tentang risiko serius mengambil ubat atau suplemen secara tidak terkawal terutama daripada platform media sosial.
Tampil memberi penjelasan lanjut, Doktor Perubatan, Dr Mohd Izzar Anwari Datuk Seri Abdul Khani berkata, pengambilan produk yang tidak berdaftar atau tanpa pengawasan doktor adalah sangat berbahaya, khususnya bagi warga emas.
“Masalah utama apabila seseorang membeli ubat atau suplemen melalui media sosial ialah kita tidak tahu kandungan sebenar produk tersebut. Banyak produk tidak berdaftar dengan NPRA dan tiada jaminan keselamatan atau ketulenan bahan yang digunakan,” katanya kepada Majoriti.
Beliau menambah, terdapat produk yang kelihatan seperti suplemen biasa tetapi sebenarnya mengandungi bahan terlarang seperti steroid, ubat kuat atau bahan kimia aktif lain yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Bagi warga emas, fungsi hati dan buah pinggang sudah tidak sekuat dahulu untuk menapis bahan toksik, justeru risiko kerosakan organ adalah sangat tinggi," katanya.
Pengambilan steroid atau bahan aktif yang tidak diketahui boleh menyebabkan komplikasi seperti peningkatan mendadak paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi, bengkak muka dan badan, serta kerosakan buah pinggang dan hati.
Dalam jangka panjang, masalah ini boleh membawa kepada kegagalan organ dan komplikasi kesihatan serius lain.
Untuk rekod, baru-baru ini, Zainan Mat. Nor dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM), Kuala Lumpur akibat tekanan darah dan paras gula dalam darah yang sangat tinggi.
Misha Omar dalam hantaran di media sosial meluahkan kisah disebalik kejadian itu.
“Mak saya memang ada penyakit kencing manis dan darah tinggi dan kesihatannya dipantau doktor pakar di klinik primer HUKM. Namun, dia cuba makan suplemen yang dibeli sendiri daripada media sosial tanpa kebenaran doktor,” kongsi Misha.
Akibat itu, tekanan darah ibu Misha meningkat sehingga mencecah 200 lebih dan menyebabkan kecederaan pada buah pinggang.
"Mujur keadaan segera disedari sebelum bertambah buruk, kerana jika lewat, risiko serangan strok, jantung atau komplikasi lain amat tinggi.
“Sekarang, kesihatan ibu sedang dipantau dan kami utamakan proses pemulihan,” tambah Misha.
Dr Mohd Izzar menegaskan supaya orang ramai hanya mendapatkan ubat atau suplemen daripada farmasi yang sah dan memastikan produk tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semak status pendaftaran produk melalui aplikasi FarmaChecker atau laman sesawang Quest3+ sebelum membeli,” ujarnya.
Produk yang tidak berdaftar bukan sahaja tiada jaminan keselamatan tetapi boleh membawa mudarat besar kepada pengguna, terutama warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram