CAHAYA mata merupakan anugerah setiap pasangan. Lebih perit, ada yang menantikan kehadiran mereka sehingga bertahun lamanya.
Namun, bersediakah ibu bapa jika ditakdirkan menimang cahaya mata anak istimewa? Lebih 'parah' jika mereka daripada golongan berpendapatan rendah (B40) kerana terpaksa menanggung beban kos yang lebih tinggi seperti terapi, pendidikan dan lain-lain.
Satu isu faktor yang tidak boleh dipandang remeh adalah perbezaan kos pendidikan antara anak-anak normal dan anak orang kelainan upaya (OKU).
Menurut Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Nen, perbezaan yang paling ketara adalah kurikulum dan keperluan pemulihan.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Perokok, vape perhabis ribuan ringgit setahun
Dr. Salina
"Pendidikan anak normal lebih fokus kepada perkembangan akademik dan aktiviti sosial seperti kelas seni dan berenang," katanya kepada Majoriti.
Namun, anak OKU pula, pendidikan mereka tidak hanya melibatkan aspek akademik, tetapi juga memerlukan intervensi pemulihan yang lebih intensif.
“Bagi anak-anak dengan ketidakupayaan fizikal mereka memerlukan terapi khas seperti Occupational Therapy (OT) dan fisioterapi," tambah Dr. Salina.
Hal tersebut menjadikan kos meningkat kerana ibu bapa terpaksa membayar RM100 hingga RM150 untuk satu sesi terapi di pusat swasta dengan kekerapan dua atau tiga kali seminggu.
Perkara itu secara tidak langsung memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa terlibat, sekali gus mendatangkan kesan buruk terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi mereka.
Jelas Dr. Salina, jika pasangan suami isteri mempunyai pendapatan lumayan tekanan kewangan boleh diatasi, tetapi bagi kategori B40, ia menjadi cabaran besar.
“Ibu bapa yang mempunyai anak OKU sering terpaksa berhenti kerja untuk berikan perhatian khusus kepada mereka,” ujar beliau yang juga mempunyai seorang anak OKU berusia empat tahun.
Tambahan pula, jika salah seorang ibu bapa terpaksa berhenti kerja, keluarga akan kehilangan satu sumber pendapatan, seterusnya menambah beban kewangan.
Tersepit antara kerja dan jaga anak
Sebilangan keluarga yang mempunyai anak OKU terpaksa memilih untuk berhenti kerja kerana tidak mampu menampung kos jagaan dan itu dilema kerap dihadapi.
Jadi, adakah bekerja dari rumah atau work from home (WFH) menjadi solusi masalah kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU?
Dr. Salina berkata, ibu bapa sering berdepan waktu bekerja yang tidak fleksibel sehingga sesi terapi atau temu janji perubatan untuk anak OKU mengalami keciciran.
“Itu satu kerugian buat negara sebab ibu bapa masih mampu untuk menyumbang kepada pendapatan negara, tetapi dek faktor tekanan luaran menyebabkan salah seorang terpaksa berhenti kerja,” jelasnya.
Langkah bekerja dari rumah jelas tidak merugikan mana-mana pihak, malah ia membantu mensejahterakan emosi dan psikologi ibu bapa. — Gambar hiasan
Polisi kerja dari rumah
Mengulas mengenai cadangannya untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi ibu bapa yang terbeban dengan kos pendidikan anak-anak termasuk kos terapi anak OKU, Dr. Salina berkata, polisi kerajaan memainkan peranan sangat penting.
Beliau mencadangkan lebih banyak kelas pendidikan khas diwujudkan di sekolah awam, selain meningkatkan peluang pekerjaan yang fleksibel untuk ibu bapa anak OKU.
"Saya rasa polisi sangat penting kerana ia boleh memberikan perubahan yang signifikan dalam membantu ibu bapa berhadapan dengan cabaran ini," jelas beliau.
Sebagai langkah proaktif, Dr. Salina menegaskan ibu bapa anak OKU harus menjadi ‘penyokong’ dan berkongsi cabaran bersama majikan dan komuniti. Langkah ini boleh memberi pemahaman kepada majikan tentang keperluan pekerja terutama fleksibiliti dalam pekerjaan.
Bagi mewujudkan situasi menang-menang, beliau mencadangkan kerajaan membangunkan polisi bekerja dari rumah, terutamanya apabila anak mereka memerlukan rawatan yang kerap atau memerlukan penjagaan 24 jam. Langkah ini jelas tidak merugikan mana-mana pihak.
Selain itu, Dr. Salina juga mencadangkan kerajaan menyediakan lebih banyak sokongan dalam bentuk kemudahan pendidikan khas di sekolah-sekolah utama.
"Kekurangan kelas pendidikan khas yang mencukupi di sekolah menyebabkan ibu bapa perlu mencari pilihan lain yang jauh dari rumah, dan ini menambah beban mereka," jelasnya.
Justeru, sokongan lebih besar daripada masyarakat, majikan, dan kerajaan adalah penting untuk memastikan kesejahteraan keluarga dan perkembangan anak-anak OKU. Melalui peningkatan kesedaran, pendidikan, dan kemudahan, diharap situasi ini dapat diperbaiki, memberi ruang kepada anak-anak OKU untuk berkembang secara optimum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram