Perlu terus bayar pinjaman walau pasangan meninggal dunia antara 3 risiko suami isteri 'joint loan' beli rumah


  • Cinta
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Pasangan suami isteri yang membuat permohonan pinjaman bersama berisiko tinggi berdepan masalah jika tiada perancangan teliti.— Gambar hiasan/Janaan AI

MEMILIKI sebuah kediaman impian sering dianggap simbol kebahagiaan dan kestabilan hidup berkeluarga.

Tidak dinafikan, kos pemilikan rumah pada masa kini agak mahal ekoran desakan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi lebih-lebih lagi pasangan yang sudah mempunyai anak.

Ekoran situasi itu, rata-ratanya memilih untuk membuat pembelian melalui kaedah permohonan pinjaman bersama (joint loan) yang membolehkan dua pemohon menggabungkan pendapatan untuk mendapatkhan jumlah pembiayaan yang lebih tinggi.

BACA LAGI: Elak stress, mudah bersalin, ibu 2 anak aktif berjoging ketika hamil sambil tolak 'stroller' bayi

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Namun, di sebalik langkah itu, ramai tidak menyedari terdapat risiko besar yang boleh 'menjerat' pasangan jika berlaku perkara di luar jangkaan.

Antara masalah utama termasuklah isu bayaran pinjaman, hak pusaka dan juga risiko kehilangan rumah sekiranya berlaku kematian salah seorang penama.

Seorang perunding kewangan dan insurans, @paijahbaharin di laman Threads berkongsi beberapa perkara perlu dititikberatkan oleh pasangan yang berhajat membuat pinjaman bersama.

1. Pinjaman perlu dibayar walau pasangan meninggal dunia

Apabila rumah dibeli secara pinjaman bersama, bayaran bulanan tidak terhenti meskipun salah seorang pasangan meninggal dunia.

Jika suami yang meninggal, isteri perlu menyambung pembayaran pinjaman sekiranya ingin terus tinggal di rumah tersebut.

Situasi mungkin terkawal jika isteri bekerja dan mempunyai pendapatan namun jika sebaliknya, rumah berisiko dilelong bank kerana kegagalan menjelaskan baki pinjaman.

2. Hak milik jadi harta pusaka

Dalam kes kematian, bahagian rumah yang dimiliki pasangan akan berpindah menjadi harta pusaka dan perlu diagihkan mengikut hukum faraid.

Sebagai contoh, jika suami meninggal dunia, haknya akan menjadi milik waris yang berhak menuntut bahagian mereka iaitu ahli keluarga ataupun adik-beradik si mati.

"Jadi, isteri perlu minta waris faraid suami untuk lepaskan hak diorang, lepas tu barulah isteri boleh tinggal di rumah tu.

"Tapi apa yang jadi kebanyakannya kat Malaysia ni masa kubur merah lagi, ada waris yang dah tuntut hak masing-masing," ujarnya.

3. Risiko kehilangan tempat tinggal

Tanpa perancangan pembahagian harta yang betul, isteri atau suami yang ditinggalkan boleh kehilangan kediaman sama ada kerana rumah dilelong bank atau dituntut oleh waris.

Keadaan itu dikhuatiri boleh menambah beban emosi dan kewangan kepada pasangan yang masih hidup.

Penyelesaian: Hibah harta untuk rumah

Pasangan yang memohon permbiayaan bersama dinasihatkan agar mempertimbangkan hibah harta sebagai langkah perlindungan.

Berbeza dengan hibah takaful, ia berupaya memastikan rumah terus menjadi milik pasangan yang masih hidup sekiranya berlaku kematian, tanpa perlu melalui proses faraid.

Antara manfaat hibah rumah:

- Rumah kekal milik pasangan yang masih hidup.

- Mengelakkan risiko rumah dilelong bank.

- Memberi jaminan tempat tinggal kepada balu atau pasangan.

Maka, pembelian rumah dengan pinjaman bersama bukan sekadar tentang memiliki aset, tetapi juga tentang perancangan masa depan keluarga.

Tanpa persediaan awal seperti hibah harta, rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan boleh bertukar menjadi beban dan punca perbalahan sesama keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram