'Kami mahu buku ini jadi suara wanita Asia dikenali di mata dunia', ibu, anak tulis buku inspirasi, Michelle Yeoh antara kisah dijulang


  • Sukses
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Gutsy Asian merupakan karya khas direka oleh dua beranak iaitu Wan Shera (kiri) dan Safiyya. — AZHAR MAHFOF/The Star

REPUTASI wanita Asia dalam bahan bacaan kanak-kanak masih kurang diberi perhatian berbanding tokoh dari negara Barat.

Hakikatnya, kisah perjuangan, keberanian dan pencapaian wanita dari rantau itu juga tidak kurang hebat, malah mampu menjadi inspirasi buat generasi muda hari ini.

Hal itu mendorong seorang ibu asal Kuala Lumpur, Wan Shera Fadzlin menghasilkan sebuah buku istimewa yang memberi tumpuan kepada tokoh wanita Asia untuk bacaan masyarakat.

BACA LAGI: Elak stress, mudah bersalin, ibu 2 anak aktif berjoging ketika hamil sambil tolak 'stroller' bayi

BACA LAGI: Sidang Kemuncak SCO Tianjin, Wan Azizah perkukuh hubungan bersama isteri pemimpin dunia

Wanita berusia 55 tahun itu, yang kini menetap di Britain sejak 2015, sering berasa terkilan apabila tidak menemui bahan bacaan yang mencerminkan warisan dan nilai wanita Asia buat dua anak perempuannya.

"Banyak buku meraikan tokoh wanita kulit putih dan Afro-Caribbean, tetapi hampir tiada yang menampilkan wanita Asia seolah-olah kita tidak wujud di pentas global,” katanya.

Book author Shera Fadzlin and her daughter Saiffya co autored the book Gutsy Asian. .—AZHAR MAHFOF/The Star

Wan Shera (kanan) menghasilkan sebuah naskhah berjudul Gutsy Asian, bersama anaknya. — AZHAR MAHFOF/The Star

Dari keresahan itu, tercetuslah ilham menghasilkan Gutsy Asian, sebuah buku kanak-kanak bergambar setebal 32 muka surat yang menghimpunkan kisah inspirasi wanita Asia berpengaruh.

Menariknya, naskhah tersebut turut dihasilkan bersama anak bongsunya, Safiyya Suhaimi, 24, seorang graduan Seni Halus Universiti London, United Kingdom.

Pada peringkat awal, Safiyya difahamkan sekadar memantau projek, namun akhirnya turut menyumbang dari aspek penulisan serta editorial buku berkenaan.

"Kami mahu buku ini menjadi suara bersama untuk wanita Asia dikenali di peringkat dunia global," kata Safiyya.

Ilham ketika pandemik

Proses penghasilan buku itu bermula pada 2021 bila mana dunia diserang wabak pandemik Covid-19.

Di hujung meja dapur, Wan Shera difahamkan menulis sambil ditemani timbunan buku bergambar sebagai rujukan, manakala sebuah lagi sudut terhidang bahan masakan untuk kelas kulinari atas talian yang diusahakannya.

"Memasak dan menulis saling berkait yang menghidupkan kreativiti serta menjadi rutin harian saya," katanya yang sebelum ini berkhidmat dalam bidang komunikasi korporat.

Pencapaian Michelle Yeoh merupakan antara kisah yang dijulang dalam buku Gutsy Asian. — AZHAR MAHFOF/The Star

Kisah wanita Asia berpengaruh

Buku tersebut mengangkat tokoh penting termasuk Raden Adjeng Kartini, pejuang hak wanita dari Indonesia; Yamamoto Yaeko, pendidik dari Jepun; serta pelakon kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Dalam pada itu, ilustrasi penuh warna-warni buku tersebut turut dihasilkan oleh pelukis muda tempatan iaitu Fatini Mohamad.

Simbol warisan

Wan Shera menegaskan, kerjasama dengan anaknya adalah intipati utama kepada tujuan sebenar buku tersebut dihasilkan.

"Kisah wanita Asia yang dihasilkan terasa lebih bermakna apabila semangat itu turut dirasai kami sebagai ibu dan anak.

"Safiyya bukan sahaja menyuarakan pendapatnya sendiri, tetapi juga pemahaman tentang identiti serta nafas baharu yang saya sendiri tidak mampu lakukan seorang diri," katanya.

Selepas hampir dua tahun proses dari konsep hingga penerbitan, Gutsy Asian kini menjadi simbol usaha dua beranak itu dalam mengangkat martabat wanita Asia ke mata dunia.

Lebih daripada sekadar buku kanak-kanak, naskhah tersbeut juga disifatkan sebagai 'jambatan generasi' bagi menghormati perjuangan wanita lampau, pada masa sama membuka ruang buat generasi muda terus memasang impian ke mencapai kejayaan ke peringkat tertinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram