
AKTIVIS muda yang juga seorang gadis autistik berasal Sweden, Greta Thunberg mencuri perhatian dunia apabila beliau menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), misi kemanusiaan terbesar yang menuju ke Gaza.
Sejak kecil, Greta sudah didiagnosis menghidap sejenis autisme ringan, Sindrom Asperger (Asperger’s Syndrome).
Namun, keadaan itu tidak pernah melemahkannya, malah menjadikan beliau lebih berani, jujur dan berfikiran luar kotak.
BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas
Nama Greta mula dikenali ketika berusia 15 tahun selepas memulakan kempen iklim, Fridays for Future yang kemudian mendapat sokongan jutaan anak muda di seluruh dunia.
Kempen itu dilancarkan bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan serius terhadap krisis perubahan iklim.
Greta ketika itu memulakan protes dengan tidak hadir ke sekolah setiap hari Jumaat dan duduk di hadapan Parlimen Sweden sambil memegang sepanduk tertera School Strike for Climate.
Gerakan kecil itu kemudiannya berkembang menjadi protes global.
Jutaan pelajar di lebih 150 negara turun ke jalan raya pada hari Jumaat untuk menuntut polisi yang lebih tegas dalam mengurangkan pencemaran, menghentikan penggunaan bahan api fosil dan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang.
Fridays for Future kini menjadi simbol kebangkitan suara anak muda dalam isu kelestarian bumi.
Greta secara terang-terangan menyatakan tidak takut kepada rejim Zionis.
Kini, beliau melangkah lebih jauh daripada perjuangan alam sekitar kepada memperjuangkan hak asasi manusia, khususnya membela rakyat Palestin.
Dalam misi kali ini, Greta menaiki salah satu daripada lebih 50 kapal flotilla yang membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas ke Gaza.
Namun, pada malam 1 Oktober lalu, pasukan tentera laut regim telah menyerbu beberapa kapal flotilla di perairan antarabangsa.
Greta bersama puluhan aktivis lain ditahan dan dibawa ke pelabuhan Ashdod.
Ini merupakan cubaan kedua Greta menyertai misi bantuan ke Gaza.
Pada Jun lalu, percubaannya melalui kapal Madleen juga digagalkan pihak regim Zionis. Walaupun berdepan ancaman dan risiko, keberanian Greta menjadi inspirasi ramai.
Berikutan kegigihannya, ramai ibu bapa kepada anak autisme menyuarakan rasa bangga kerana Greta membuktikan bahawa autisme bukan halangan untuk berjaya, sebaliknya boleh menjadi kekuatan.
Dalam hantaran di media sosial, seorang ibu yang turut memiliki anak autisme, Ain Nadmilail meluahkan rasa kagumnya terhadap perjuangan Greta Thunberg.
“Baru aku tahu bahawa salah seorang sukarelawan Global Sumud Flotilla, Greta Thunberg adalah anak istimewa dengan diagnosis spektrum autisme.
"Sebagai ibu bapa kepada anak autisme, aku rasa bangga kerana ada wakil anak autisme yang begitu berani.
"Sesiapa yang menjadi ibu bapa anak autisme patut merasa bangga kerana ada anak seperti Greta yang mampu berdiri seteguh ini. Semoga ALLAH melindungi Greta dan semua sukarelawan dalam misi GSF," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram