[VIDEO] Wanita Kerala sewa lori air bersih 3,000 liter bantu 250 keluarga hilang tempat tinggal di selatan Gaza


  • Sukses
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Penduduk Gaza menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sreereshmi Udayakumar dari Kerala atas inisiatif menyewa lori air 3,000 liter bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

TINDAKAN mulia seorang wanita muda dari Kerala, India menarik perhatian dunia selepas penduduk Gaza menerima bantuan air bersih daripadanya menzahirkan ucapan terima kasih secara terbuka.

Pengasas kolektif kemanusiaan Koottu, Sreereshmi Udayakumar, yang berpangkalan di Kochi, berjaya menyewa sebuah lori air berkapasiti 3,000 liter bagi membekalkan air minuman kepada kira-kira 250 keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza.

Usaha itu dijayakan hasil sumbangan rakan-rakan dan penderma yang bersimpati dengan nasib penduduk di wilayah bergolak itu.

BACA LAGI: Rumah Toybox berusia 160 tahun di Goa, pesona warisan kontemporari dalam kedamaian desa

BACA LAGI: Wanita mangsa 'grooming' guru sejak usia 16 tahun tak dibela, kecewa ketidakadilan undang-undang

Menerusi video yang tular di media sosial, wanita dan kanak-kanak Palestin kelihatan memegang sepanduk bertulis, "Terima kasih Reshmi dan rakan-rakan dari Kerala, India."

Gambar dan video tersebut mendapat pujian meluas di platform seperti Instagram dan X, dengan ramai pengguna menganggapnya sebagai simbol kasih sayang sejagat tanpa batas bangsa atau agama.

Menurut laporan, Sreereshmi telah berhubung rapat dengan beberapa keluarga Gaza sejak hampir lapan bulan lalu.

Krisis air bersih yang semakin parah akibat perang menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan sumber air tercemar, sekali gus membawa kepada peningkatan kes jaundis, cirit-birit dan jangkitan kulit.

"Rakan-rakan saya di Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 liter air setiap hari untuk meneruskan hidup.

"Pada suatu malam saya berasa sangat tidak berdaya, lalu teringat rakan saya Mosheer dan Wesam di Gaza.

"Saya hubungi rakan-rakan yang saya kenal dan masing-masing menyumbang apa yang termampu ada yang sanggup berkongsi separuh daripada apa yang mereka miliki untuk anak-anak di sana," jelas Sreereshmi dalam satu hantaran di media sosialnya.

 

Tambahnya lagi, "Apa yang kami usahakan akhirnya sampai kepada tangan mereka yang benar-benar memerlukan.

"Mereka bahkan merakam video sebagai bukti dan tanda penghargaan. Setiap sen, setiap doa, setiap kasih yang disalurkan telah benar-benar sampai ke Gaza."

Sreereshmi yang kini menetap di Kerala bersama suaminya, Yasir, terus komited menyelaras bantuan kemanusiaan dari jauh untuk rakyat Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram