
KESEMUA 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) akan tiba di negara ini pada Ahad atau Isnin.
Perdana Menyeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada Sabtu, kesemua 23 sukarelawan sudah menandatangani persetujuan untuk pengusiran segera dengan negara rejim.
Mereka semua akan bergerak dari Istanbul, Turkiye menuju ke Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Rejim dakwa tiada bekalan kemanusiaan dalam 40 bot GSF
BACA LAGI: Aktivis Malaysia dibawa keluar menuju Istanbul dalam masa terdekat — PM Anwar
"ALHAMDULILLAH, 23 sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel, dengan pesawat khas dari Turkiye yang mengangkat mereka ke Istanbul.
"Dengan rundingan saya dengan pihak Ketua Risikan Malaysia yang ada di Ankara sekarang, menyelaraskan bersama dengan Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di Ankara, lebih baik mereka itu menginap di Istanbul sekitar satu atau satu setengah hari untuk siasatan kesihatan akibat trauma dan tekanan rejim zalim yang telah bertindak agak keras terhadap mereka," kata Anwar.
Dalam masa yang sama, Anwar turut mengatakan yang usaha rundingan dilakukan kerajaan turut melibatkan potensi memberikan bantuan kepada warga Gaza.
Misi GSF mungkin tidak berjaya, namun ia membuka mata masyarakat dunia yang penduduk Gaza amat memerlukan bantuan.
"Walaupun tidak mudah untuk sampai di rejim penjajahan Israel, usaha ini memberi kesedaran besar kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang berlaku, terutama terhadap rakyat Palestin.
"Ini hanya berlaku kalau negara itu dipimpin dengan falsafah yang sangat kejam, tidak bertamadun. Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan," jelas Anwar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram