[VIDEO] 'Patut tegur cara elok', warga asing tak sedar pakai baju penguat kuasa diminta tanggal depan orang awam


  • Tular
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan lelaki warga Bangladesh berkenaan diminta menanggalkan pakaian tersebut di khalayak ramai.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki warga asing memakai baju berwarna kuning yang tertera logo Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga mencuri perhatian warga maya.

Menerusi rakaman yang kembali tular sejak Jumaat, lelaki berkenaan dipercayai warga Bangladesh kelihatan ditegur orang awam kerana mengenakan pakaian berkenaan.

Individu yang menegur itu kedengaran menjelaskan bahawa baju dengan lambang rasmi JPJ tidak boleh dipakai sesuka hati.

BACA LAGI: Rejim dakwa tiada bekalan kemanusiaan dalam 40 bot GSF

BACA LAGI: PM Anwar saran aktivis Malaysia tangguh dulu sertai misi kemanusiaan ke Gaza

Malah, dia turut meminta warga asing tersebut menanggalkan pakaian itu serta-merta di lokasi kejadian.

Namun, tindakan menyuruh lelaki itu menukar baju di khalayak ramai mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warga maya.

Ramai berpendapat teguran berkenaan wajar dilakukan dengan cara lebih berhemah memandangkan kemungkinan besar warga asing itu tidak mengetahui tentang larangan tersebut.

Ada juga yang menyatakan baju berkenaan mungkin diperoleh daripada kedai pakaian terpakai (bundle) atau diberi orang lain tanpa disedari.

“Patut tegur cara eloklah, mungkin baju itu orang bagi ataupun jumpa bungkus di tong sampah,” kata Ahmad Azlan.

“Bukan nak bela, tapi mana tahu baju itu dibeli di bundle. Sepatutnya jabatan perlu lebih tegas, baju yang tidak digunakan harus dilupuskan supaya tidak jatuh ke tangan orang luar,” kata Ruzz Lan.

“Rasanya dia pun tak tahu, baju itu mungkin saja diambil dari tempat pakaian terpakai yang diwakafkan,” tulis Norliza Muhammad.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung masa dan lokasi sebenar kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram