Elyana terus cekal jalani kemoterapi, cinta suami, kasih sayang anak-anak sumber kekuatan lawan kanser


  • Bonda
  • Khamis, 02 Okt 2025

Elyana (gambar kanan) mengakui tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya sehingga peranan sebagai ibu turut terbatas, namun beliau tetap positif dan terus berjuang.

BERGELAR ibu dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu bukan sesuatu yang mudah.

Itulah hakikat diakui penyanyi dan pelakon, Elyana, 38, yang masih berjuang melawan kanser agar sembuh sepenuhnya demi anak-anak tersayang.

Biarpun sudah empat tahun disahkan bebas daripada kanser limfoma, pemilik nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal mengakui, tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya yang menyebabkan peranan beliau sebagai ibu turut terbatas.

BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas

BACA LAGI: Katil berasingan boleh meretakkan rumah tangga, 5 sebab suami isteri wajib tidur bersama

“Saya tak selincah dulu. Misalnya kini, kawan-kawan anak saya ibu mereka boleh hantar dan ambil di sekolah, melakukan aktiviti itu dan ini, tapi 'pergerakan' saya terhad.

"Insya-ALLAH, apabila badan sudah betul-betul pulih, saya nak buat benda sama. Itu doa dan impian saya seorang ibu,” katanya ketika ditemui Majoriti pada acara Nivea Moments of Care di Kuala Lumpur, Rabu.

Anak cepat matang

Menurut ibu kepada Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani itu, anak-anaknya membesar dalam suasana berbeza berbanding rakan sebaya kerana sejak kecil sudah terbiasa melihat keadaan Elyana yang sakit.

“Semasa diagnos kanser anak sulung saya belum cecah usia setahun. Jadi dari bayi lagi sudah melihat saya sakit. Mungkin apabila melihat kehidupan orang lain normal itu menjadi 'pelik' buat mereka.

“Pun demikian, kelebihannya anak-anak cepat matang. Mereka tahu apa itu kanser, faham kesannya. Apabila jalani kemoterapi, mereka mengetahui dan melihat saya pulang dalam keadaan lemah. Lepas dua minggu baru kembali normal. Jadi mereka faham kitaran itu,” kongsinya pelakon drama siri Dunia Baru tersebut.

Sokongan keluarga kekuatan diri

Walaupun sokongan keluarga tidak pernah berhenti, Elyana menyifatkan pengalaman bertahun-tahun melawan penyakit membuatkan dirinya lebih berdikari.

“Dulu saya terlalu mengharapkan orang lain untuk buat itu dan ini. Tapi saya belajar, mereka pun ada hal masing-masing.

“Jadi sekarang sakit macam mana pun, kalau nak mandi tak boleh bangun pun, saya tetap usaha sendiri. Dari situ saya jadi lebih bangga dengan diri sendiri,” ujarnya.

Elyana menyifatkan sokongan suami, anak-anak dan keluarga adalah sumber kekuatannya untuk terus hidup.

Masih perlu rawatan

Walaupun bebas kanser, Elyana masih perlu menjalani rawatan kemoterapi.

“Rawatan masih berjalan, cuma sekarang saya berehat sekejap. Lepas ini saya akan sambung semula,” katanya.

Bagi Elyana, doa dan sikap positif adalah kunci untuk terus kuat.

“Kalau kita positif, benda positif akan datang kepada kita. Kerja kita sebagai 'orang sakit' jangan putus asa. Anak-anak sumber kekuatan untuk saya bertahan,” katanya.

Kempen tingkat kesedaran 

Kempan Nivea Moments of Care bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi membolehkan lebih ramai individu sedar mengenai kanser, Nivea melancarkan kempen Nivea Moments of Care yang memasuki tahun kedua.

Sepanjang Oktober ini, bagi setiap pembelian bernilai RM20 produk Nivea di di Watsons, sebanyak RM1 akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Kempen tersebut ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000 dan sebagai tanda sokongan tambahan, Nivea akan menyalurkan RM20,000 lagi sebaik sahaja sasaran pertama dicapai.

Dana berkenaan akan digunakan untuk memperkukuh usaha BCWA dalam meningkatkan kesedaran, pendidikan dan sokongan komuniti kepada pesakit kanser payudara di Malaysia.

Melalui kerjasama ini, pihak Nivea berharap dapat meringankan beban wanita yang melalui perjalanan sama seperti Elyana.

Untuk rekod, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 15, dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani kini berusia 6 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram