
SIAPA sangka, pada usia 68 tahun, seorang nenek mampu mempamerkan aksi papan luncur penuh gaya, sekali gus menepis stereotaip usia emas.
Liu, yang mesra digelar 'Nenek Pengejar Angin' oleh warga maya mula mengenali sukan ekstrem itu secara tidak sengaja pada Februari 2022 ketika menemani anak perempuannya, Dong untuk membeli papan luncur.
“Saya memang tak boleh duduk diam. Bila anak kata, ‘Mak, mari cuba benda baru,’ saya jawab, ‘Baiklah!’ Sekali cuba, saya terus rasa seronok. Lebih mengejutkan, saya langsung tak jatuh,” katanya.
Terpikat dengan pengalaman itu, Liu tekad untuk belajar meskipun sering terjatuh dan mengalami luka pada peringkat awal.
Namun, dengan kesungguhan dan disiplin, beliau akhirnya menguasai teknik asas, malah kini mampu meluncur dengan gaya bebas penuh yakin.
Bagi memastikan keselamatan, Liu sentiasa melengkapkan diri dengan peralatan pelindung sebelum beraksi.
Lokasi kegemarannya termasuk Tasik Dong’an dan Tasik Qinglong di Chengdu, China yang terkenal dengan permukaan jalan rata dan pemandangan indah.
Lebih istimewa, minat ini turut mengeratkan hubungan keluarga.
Anak perempuannya bukan sahaja menyediakan semua kelengkapan sukan itu, malah membuka akaun media sosial, Mimihu khusus untuk ibunya.
Akaun tersebut kini berjaya mengumpul lebih 10,000 pengikut di RedNote.
Bagi Liu, papan luncur bukan sekadar hobi, sebaliknya satu falsafah hidup yang memberi nafas baharu pada usia emas.
“Bagi ramai anak muda di bandar, hidup mungkin hanya rutin bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Tetapi bagi orang Chengdu, kehidupan sebenar bermula apabila matahari terbenam,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram