Katil berasingan boleh meretakkan rumah tangga, 5 sebab suami isteri wajib tidur bersama


  • Cinta
  • Rabu, 01 Okt 2025

Tidur bersama pasangan adalah masa untuk berbual mesra sebelum melelapkan mata. — Gambar Hiasan

RAMAI tidak sedar bahawa banyak rumah tangga bukan runtuh kerana badai besar, tetapi kerana perkara kecil yang dibiarkan berlarutan.

Salah satunya ialah apabila suami isteri mulai memilih untuk tidur berasingan. 

Nampak remeh, tetapi kesannya mampu meretakkan hubungan tanpa disedari.

BACA LAGI: Menanti kelahiran anak ketiga, Aaron Kwok sanggup ambil cuti sebulan, belanja lebih RM1 juta mewahkan isteri selepas bersalin

BACA LAGI: Belum kering air mata, ibu mentua minta tinggalkan rumah, inilah 5 realiti kesengsaraan isteri selepas kematian suami

Berpegangan tangan antara suami isteri mampu meredakan tekanan harian dan mengeratkan kasih sayang. — Gambar Hiasan

Berikut antara lima kesan buruk yang boleh berlaku apabila suami isteri mula memisahkan tempat tidur:

1. Kurang sentuhan mesra

Hubungan intim bukan sekadar soal fizikal, tetapi juga emosi. 

Sentuhan kecil sebelum tidur seperti berpegangan tangan atau berpelukan mampu meredakan tekanan harian dan mengeratkan kasih sayang. 

Apabila tempat tidur dipisahkan, ruang untuk momen sebegini semakin berkurang, lalu menjadikan hubungan hambar.

2. Jarak emosi semakin luas

Tidur sebantal memberi peluang untuk berbual mesra, berkongsi cerita seharian atau sekadar ketawa kecil sebelum melelapkan mata. 

Tanpa disedari, perbualan ringan itu menjadi 'jambatan' emosi yang penting. 

Jika tidur berasingan, interaksi sebegini akan hilang dan pasangan berisiko semakin menjauh secara emosi.

3. Hilang rasa kepercayaan

Tidur berasingan boleh menimbulkan tanda tanya dan keraguan antara pasangan.

Antaranya seperti persoalan mengenai keselesaan, rasa hati yang terguris atau perkara yang disembunyikan.

Tanpa penjelasan atau komunikasi, persoalan kecil ini mudah menjadi prasangka, seterusnya menghakis kepercayaan yang asas penting dalam rumah tangga.

Tidur bersama pasangan adalah masa untuk berbual mesra sebelum melelapkan mata. — Gambar Hiasan

4. Masalah kecil jadi besar

Perkara kecil seperti dengkuran atau perbezaan gaya tidur sering dijadikan alasan untuk tidur berasingan.

Namun, tanpa komunikasi yang matang, masalah remeh ini boleh berkembang menjadi pertengkaran serius. 

Hakikatnya, tidur sebilik memberi ruang untuk belajar bertoleransi dan memahami pasangan dengan lebih mendalam.

5. Rahmat dan keberkatan rumah tangga hilang

Dalam ajaran Islam, hubungan suami isteri bukan hanya soal emosi dan fizikal, tetapi juga keberkatan. 

Tidur bersama bukan sekadar rutin, malah menjadi salah satu cara mengeratkan kasih sayang yang mendapat ganjaran pahala. 

Nabi Muhammad ﷺ menyebut bahawa tidur suami isteri dalam satu selimut adalah amalan yang diberi pahala.

Malah, ALLAH SWT menegaskan dalam Surah al-Rūm ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih (mawaddah) dan sayang (rahmah). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Apabila tempat tidur dipisahkan, bukan sahaja kasih mesra terjejas, malah rahmat dalam rumah tangga juga berisiko pudar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram