Golf sambil beramal, Swing for Pink kutip dana bantu golongan B40 kesan awal kanser payudara


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Sesi penyerahan 'mock cheque' sebagai simbolik penyerahan dana terkutip dalam kempen tersebut.

SERAMAI 88 peserta tampil memeriahkan acara Swing for Pink Charity anjuran Malaysian Golf Association’s Women in Glof Charter (MGA WIC) dalam usaha meningkatkan kesedaran dan dana inisiatif Tabung Diagnosis Kanser Payudara di bawah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kempen tersebut diperkenalkan untuk membantu wanita dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang mahu mendapatkan akses terhadap pengesanan awal kanser payudara di pusat perubatan tersebut.

Pengarah PPUM, Prof Dr Nazirah Hasnan berkata, pihaknya berbesar hati akan komitmen ditunjukkan MGA WIC dalam terus memberi sokongan terhadap kesihatan wanita.

BACA LAGI: Merokok, faktor genetik punca kanser payudara dalam kalangan lelaki — Pakar

BACA LAGI: Kanser payudara wanita berkerjaya-suri rumah berisiko merebak lebih cepat tanpa sokongan suami

“Kempen Swing for Pink bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, tetapi turut menyedarkan wanita mengenainya pentingnya membuat pengesanan awal mengenai kanser payudara. Dana terkumpul akan disalurkan buat mana-mana golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Beberapa acara diadakan sempena kempen Swing for Pink dengan dua sesi taklimat ‘Breast Cancer Awareness & Wellness Talks’ yang masing-masing dianjurkan pada Julai dan Ogos sekitar Selangor.

Selain itu, Community Golf Day di Kelab Golf Negara Subang (KGNS), Selangor turut diadakan bertujuan mendedahkan bekas penghidap kanser dengan sukan tersebut dalam usaha membantu pemulihan dari segi fizikal dan mental.

Pengerusi MGA WIC, Datuk Merina Gan turut berbesar hati akan sokongan diberikan pelbagai syarikat dalam menjayakan program untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

"Idea yang bermula dengan sesuatu yang kecil, siapa sangka boleh berkembang hingga ke sesuatu hal bermakna. Saya amat berharap dana terkumpul mampu memberi manfaat.

"Manfaat itu diharapkan mampu mengurangkan keresahan dalam golongan wanita yang semestinya melangkah dengan rasa gusar ke PPUM untuk mendapatkan saringan awal atas faktor kos," katanya lagi.

Kempen Swing for Pink sudah mengumpul dana melebihi RM200,000 daripada pelbagai sumber dan syarikat yang membolehkan wanita dalam golongan B40 mendapatkan ujian saringan seperti mana diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram