
BAGI sesiapa yang pernah mengalami kuku bercalar atau pengilat kuku cepat terkopek, rawatan kuku tangan (manicure) memang menjadi pilihan.
Prosesnya menggunakan pengilat gel yang dikeringkan di bawah lampu khas bagi mendapakan hasil kuku berkilat dan tahan lama sehingga dua minggu.
Namun, pada September lalu, Kesatuan Eropah (E.U.) telah mengharamkan satu bahan utama dalam pengilat kuku gel iaitu TPO (trimethylbenzoyl diphenylphosphine oxide).
BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas
BACA LAGI: Kerajaan 'hapus' internet, wanita di Afghanistan hilang masa depan, putus hubungan dunia luar
EU tidak lagi benarkan TPO dalam produk gel manicure berikutan isu kesihatan. — Gambar hiasan/Freepik
Langkah tersebut membuatkan ramai mula tertanya-tanya tentang keselamatan penggunaan gel manicure.
Kenapa TPO diharamkan?
TPO berfungsi mengeraskan pengilat gel pada kuku. Tetapi bermula Rabu, ia dilarang di E.U. selepas beberapa kajian mendapati pendedahan tinggi bahan tersebut boleh menjejaskan kesuburan haiwan makmal.
Namun begitu, pakar kimia kosmetik, Kelly Dobos menjelaskan pendedahan manusia terhadap TPO ketika manicure sangat rendah kerana bahan itu akan bertindak balas sepenuhnya semasa proses pengeringan.
Tambahnya, ada juga pengilat gel di pasaran yang tidak menggunakan TPO, sebaliknya menggunakan bahan alternatif seperti TPO-L yang masih dibenarkan di E.U.
Sinaran UV yang terhasil daripada lampu pengering kuku dikaitkan dengan penuaan kulit dan risiko kanser kulit. — Gambar hiasan/Freepik
Risiko pendedahan cahaya UV
Proses mengeringkan pengilat gel memerlukan lampu UV atau LED yang mengeluarkan sinaran UV.
Sinaran itu dikaitkan dengan penuaan kulit pramatang dan risiko kanser kulit.
Menurut Dr. Michele Green, pendedahan ketika manicure memang singkat, tetapi jika kerap dilakukan, ia boleh memberi kesan jangka panjang.
Beliau menyarankan pemakaian krim pelindung matahari pada tangan atau menggunakan sarung tangan khas tanpa jari semasa manicure.
Ia bukan sahaja melindungi kulit, malah membantu mengurangkan tanda penuaan pada tangan.
Kerosakan kuku akibat proses aplikasi dan penanggalan
Pakar dermatologi, Dr. April Schachtel menjelaskan, penggunaan gel manicure yang kerap boleh menyebabkan kuku menipis, retak atau muncul bintik putih.
Masalah berkenaan biasanya berpunca daripada proses penanggalan pengilat gel.
Kuku dibalut dengan kapas beracetone selama kira-kira 20 minit, kemudian lebihan pengilat akan dikikis menggunakan alat atau mesin pengikir.
Proses itu boleh merosakkan permukaan kuku. Pakar turut menasihati supaya tidak mengopek pengilat gel sendiri kerana ia akan menanggalkan lapisan kuku semula jadi.
Selain itu, orang ramai disarankan untuk bertanya tentang bahan penanggal yang digunakan di salon.
Ini kerana ada syarikat yang pernah diberi amaran oleh pihak berkuasa kesihatan kerana masih menggunakan bahan berbahaya yang dikaitkan dengan risiko kanser.
Pakar menasihatkan supaya manicure gel dilakukan di salon yang bertauliah. — Gambar hiasan/Freepik
Bahaya buat sendiri di rumah
Selepas pandemik, kit gel manicure untuk kegunaan sendiri semakin popular.
Namun, menurut pakar, ia boleh mendatangkan risiko jika tidak dilakukan dengan betul.
Pengilat gel mengandungi bahan akrilat (asas akrilik). Jika molekul akrilat yang tidak mengeras terkena kulit, ia boleh menyebabkan alahan.
Gejalanya termasuk ruam pada jari atau muka serta kuku terangkat dan sakit.
Lebih membimbangkan, alahan akrilat juga boleh memberi kesan terhadap penggunaan peralatan perubatan seperti implan gigi atau simen tulang.
Disebabkan itu, pakar menasihatkan supaya gel manicure dilakukan di salon yang bertauliah kerana kawalan prosedur lebih baik berbanding di rumah.
Secara umumnya, gel manicure dianggap berisiko rendah jika dilakukan sesekali dan dengan langkah berjaga-jaga.
Pakar tidak menghalang orang ramai daripada mencubanya, tetapi menekankan kepentingan kesederhanaan.
Jika anda mahu terus menikmatinya, pilih salon yang dipercayai, gunakan pelindung tangan, elakkan mengopek pengilat gel sendiri dan pastikan bahan yang digunakan selamat.
Dengan cara tersebut, anda boleh terus bergaya tanpa menjejaskan kesihatan kuku dan kulit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram