
SAHAM atau status syarikat bukanlah pelaburan utama dalam sesebuah perniagaan.
Itulah prinsip hidup usahawan, penerbit, pelabur, penulis, personaliti televisyen di Amerika Syarikat (AS), Mark Cuban.
Bagi jutawan terkenal itu, gaya hidup seseorang memainkan peranan penting dalam memastikan perniagaan kekal konsisten.
BACA LAGI: Dulu nak makan burger pun tak mampu, pengasas Jollibee kini jutawan bergelar 'raja makanan segera'
Cuban tetap mengamalkan gaya hidup sederhana walaupun menjana pendapatan berbilion ringgit. — Agensi
Cuban yang juga dikenali sebagai panel dalam sebuah rancangan realiti televisyen berkaitan perniagaan, Shark Tank turut mendedahkan keputusan paling bijak yang pernah diambil sepanjang hidupnya.
Menurutnya, hidup seperti pelajar kolej yang sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat menjadi faktor utama beliau dapat memulakan perniagaan.
Mengenang semula perjalanan awal penglibatannya dalam dunia itu, Cuban menceritakan kenangannya ketika menjalani hidup bersama rakan-rakannya di sebuah pangsapuri usang di Dallas, AS.
"Sepanjang 2000 hingga 2010, saya kekal berbelanja dengan rendah dan ia antara cara paling terbaik terutama bagi usahawan muda membuat persediaan untuk berjaya.
"Ketika saya mula tinggal sendiri, saya kongsi pangsapuri itu dengan lima orang kawan, tidur di atas sofa tanpa almari dan memandu kereta berharga RM800 (AS$200) dengan tangki minyak bocor.
"Tetapi, pengorbanan itu membantu menyimpan lebih banyak wang dan mengajar saya melihat setiap pekerjaan digaji untuk belajar," katanya.
Cuban kini melaburkan perniagaannya untuk Dallas Mavericks. — Agensi
Wang yang disimpannya itu turut membolehkannya menimba ilmu dalam bidang perisian komputer sebelum menubuhkan syarikat pertamanya, MicroSolutions.
Bapa kepada tiga orang anak itu bagaimanapun menjual syarikat tersebut pada harga sekitar RM25 juta (AS$6 juta) ketika beliau berusia 32 tahun.
Kejayaan itu sekali gus menjadi batu loncatan untuk menubuhkan syarikat Broadcast.com yang akhirnya dijual kepada Yahoo dengan nilai lebih RM21 bilion (AS$5 bilion) dalam bentuk saham pada 1999.
Beliau kemudian membeli saham pasukan bola keranjang AS, Dallas Mavericks dan muncul sebagai pelabur tetap dalam rancangan Shark Tank.
Meskipun memiliki kejayaan dianggarkan sekitar RM25 bilion (AS$6 bilion) serta tinggal di kediaman mewah seluas 24,000 kaki persegi, Cuban tetap mengamalkan gaya hidup sederhana.
Beliau pada masa sama mendedahkan bahawa segala urusan harian termasuk memasak dan mencuci pakaian dilakukannya sendiri tanpa pembantu peribadi.
"Saya hanya cuba menjadi orang yang sama seperti saya ketika saya miskin, sederhana dan kaya.
"Saya habiskan masa sebanyak mungkin untuk belajar dan membaca segala-galanya tentang perniagaan.
"Saya pernah pergi ke perpustakaan selama berjam-jam kerana membaca buku dan majalah perniagaan," jelasnya.
Melihat keberkesanan selepas membuat keputusan sedemikian, Cuban mengharapkan agar cara sama turut diamalkan oleh usahawan muda atau generasi Z.
Gaya hidup sederhana Cuban turut diterapkan kepada keluarganya. — Agensi
Sarannya, generasi kini mempunyai peluang besar terhadap pendidikan berasaskan teknologi seperti buatan kecerdasan (AI).
Melihat potensi dalam pembangunan teknologi, Cuban kemudiannya melancarkan sebuah program AI agar para pengguna dapat meminta nasihat untuk meniru kejayaannya.
"Jika saya berumur 16, 18, 20, 21 tahun, saya akan menghabiskan setiap minit untuk belajar tentang AI.
"Walaupun saya sedang tidur, saya sedang mendengar podcast bercakap tentang AI," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram