
PELAJAR yang didakwa terlibat dalam kes buli baru-baru ini di sebuah sekolah menengah dekat Kinarut, Papar, Sabah dikenakan tindakan gantung sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa tindakan tegas telah diambil oleh pihak sekolah berdasarkan peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah, baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Bumbung sekolah runtuh, 31 mangsa dikejarkan ke hospital
BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan curi kabel gagal, lelaki terperangkap dekat tiang landasan MRT TTDI
“Pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
“Hukuman gantung sekolah telah dikenakan kepada pelajar yang terlibat. Di samping itu, pelajar terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi,” katanya.
Tambah Raisin, JPNS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli dan akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, pelajar, guru dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah seliaannya.
Sebelum ini, ibu kepada seorang pelajar Tingkatan Dua di sekolah berkenaan tampil membuat dua laporan polis, masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September dan IPD Kota Kinabalu pada 13 September.
Menurut peguam mewakili keluarga mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11 malam, 7 September lalu di kawasan asrama sekolah berkenaan.
Mangsa mendakwa ditendang di bahagian perut, ditampar di pipi dan ditumbuk pada hidung oleh seorang pelajar Tingkatan Empat kerana lambat masuk ke bilik asrama.
Mangsa juga turut diarahkan menggosok pakaian oleh seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga sebelum insiden serangan berlaku.
Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa, manakala JPNS menegaskan komitmennya untuk menangani isu buli secara menyeluruh demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram