‘Kau tak kenal siapa aku’, ibu kecewa kesihatan anak makin merosot dibelasah senior


  • Tular
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Foto disertakan pemilik Facebook itu menyatakan mangsa yang merupakan anak pengadu mengalami kecederaan.

ISU buli semakin kerap kedengaran di media sosial apabila pihak tidak bersalah menjadi sasaran sehingga meninggalkan kesan fizikal dan mental terhadap mangsa.

Insiden itu sekali lagi berlaku selepas pengguna Facebook, Ummu Habib berkongsi bagaimana anaknya dipukul ketika sedang beriadah di ruang terbuka tanpa sebarang sebab.

Perkongsian yang dibuat pada Khamis itu menceritakan bagaimana kejadian itu menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan dan terpaksa diberi rawatan di hospital.

BACA LAGI: FOMO punca utama anak muda terjebak budaya buli, bimbang dipulaukan, tekanan rakan sebaya

BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah

"Kejadian riadah di waktu petang, di padang berubah duka apabila diserang secara tiba-tiba. Tanpa pergelutan, tanpa provokasi. Anak saya disepak dan ditolak muka ke pasir.

"Dicekak rambut oleh pelaku lalu dalam posisi terduduk dan pelaku berdiri. Pelaku menumbuk dahi anak saya sehingga berbekas ruas jari di dahi lalu ditumbuk berkali-kali di belakang kepala dan lehernya sehingga anak saya gelap mata," tulisnya.

Tambah penulis itu, pelaku turut berkali-kali menjerit mangsa tidak mengenali selain menyatakan dirinya sebagai seorang yang baran dengan saksi tidak tampil membantu.

Hantaran tersebut juga menyertakan kepingan gambar memaparkan dahi anaknya berlebam angkara serangan berkenaan sebelum dibawa ke hospital dipercayai akibat demam panas dialaminya.

Gambar yang diletakkan di ruangan komen menyatakan kanak-kanak tersebut sudah kembali ceria.

Kejadian itu turut memberi kesan emosi terhadap pemilik Facebook terbabit yang berasa sedih dan hiba, namun hanya mampu menahan perasaan dialaminya.

"Andai hantaran ini bisa menemui jalan nokhtahnya, andai ada yang tahu ke mana dan bagaimana jalan penyelesaiannya, saya menyusun 10 jari agar keadilan buat anak saya dengan siasatan secara telus dan adil dari pihak yang bertanggungjawab. 

"Hingga buli ini bisa terhenti di sini. Biar ku simpan siapa mereka. Kerana aku tahu, jika terbuka aibnya, hanya sekelip mata. Moga sabar ini tiada batasannya," katanya lagi.

Penulis turut menyatakan perkembangan terbaru kes itu dengan berkata, pihak sekolah memberi kerjasama penuh dalam memastikan kes dapat diselesaikan segera.

Malah, dalam ruangan komen, ibu mangsa turut menceritakan bagaimana laporan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati kecederaan tidaklah begitu teruk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram