
POLIS sedang menyiasat insiden pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan beberapa individu di kawasan lampu isyarat Jalan Persiaran Batu Nilam, Bukit Tinggi, Klang, Selangor yang berlaku pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mendakwa telah dicederakan dalam kejadian pada 11 September lalu, kira-kira pukul 1.13 tengah hari susulan perselisihan faham di jalan raya.
BACA LAGI: ‘Klik Sebelum Gerak’, penumpang tidak pakai tali pinggang keledar akan disaman RM300 — JPJ
“Siasatan awal mendapati pengadu memandu kereta jenis Honda City dan berhenti di belakang sebuah kereta Proton Gen2 ketika di persimpangan lampu isyarat. Kereta Proton Gen2 itu secara tiba-tiba mengundur dan melanggar bahagian hadapan kenderaan pengadu.
“Berikutan itu, seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari kenderaan tersebut sebelum berlaku pertengkaran di hadapan kereta pengadu.
“Pemandu Proton Gen2 kemudian bertindak merangkul leher pengadu dan seterusnya berlaku pergelutan antara mereka sebelum dileraikan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, pengadu mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, tangan dan leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Kamalariffin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222,” katanya.
Terdahulu, rakaman insiden berkenaan yang dipercayai dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi warga maya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram