Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...


  • Bonda
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Syihabuddin cekal membesarkan dua anaknya yang didiagnosis autisme.

SETIAP individu di muka bumi mengimpikan sebuah keluarga bahagia di samping zuriat sihat yang sempurna fizikal dan mental.

Namun, dalam pada kesenangan dan kebahagiaan dimahukan, manusia tidak dapat lari daripada ujian ALLAH yang mungkin disertakan dengan tanggungjawab berat sebagai ibu bapa.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi kecekalan seorang bapa tunggal asal Marang, Terengganu dalam membesarkan dua cahaya matanya yang didiagnosis autisme.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pressure dia sejak kecil', Remy Ishak daftar anak prasekolah, kelas renang demi perkembangan sihat

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Malah, situasi lebih menduga apabila Mohd Syihabuddin Mohd, 38, juga disahkan menghidap bipolar sindrom asperger, salah satu bentuk gangguan spektrum autisme (ASD) pada usia 36 tahun.

"Saya sebelum ini dikenali sebagai menghidap gangguan bipolar, namun sehingga 2023, telah berunding dengan pakar psikiatri dan kemungkinan sebenarnya mempunyai asperger atau pertindihan antara asperger dengan gangguan bipolar iaitu salah satu kategori autisme.

"Apabila dikurniakan anak autisme memang awalnya terkejut dan perlukan banyak pengorbanan sebagai bapa tunggal. Tambahan pula, pandangan orang kita tak boleh nak elak, kadang stres itu ada dan beremosi dipandang pelik.

"Anak sulung Abdul Basit, 9, didiagnosis severe autisme tahap tiga dan anak kedua, Muhammad Jibreel, 6, pula mild autisme," katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut cabaran dan dugaan dihadapi dalam membesarkan anak-anak dengan berkeperluan khas, doktor perubatan dan pemilik sebuah klinik di Seri Kembangan, Selangor itu tidak menafikan dirinya hampir berputus asa satu ketika dahulu.

Buntu dan hilang arah dalam membesarkan anak-anak, graduan Universiti Alexandria,  Mesir tersebut walau bagaimanapun akur dengan segala ketentuan-NYA dan berdamai dengan kurniaan zuriat.

"Pernah satu tahap saya memandu tak henti selama berjam-jam, tahu-tahu dah sampai Kuantan, Pahang, tak tahu apa-apa dari subuh ke siang hari nak sampai Muar, Johor.

"Tanggungjawab saya sebagai bapa bukan sekadar mendidik, tapi untuk sediakan keperluan mereka, memang ke mana sahaja kami bertiga dan tak terpisah," ujarnya.

Malah, Syihabuddin turut menjadikan hobi dan minatnya dalam muzik sebagai penawar kepada segala tekanan dihadapi.

Sama sekali tidak terlintas untuk berjauhan dengan anak-anaknya, beliau kini sedang menuntut pengajian Sarjana Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor menganggap dirinya dan anak-anak satu kumpulan didiagnosis autisme.

"Saya dengan anak-anak dah macam satu geng, yang membezakan kami cuma pengalaman dan akal sahaja, anak autisme sama juga macam saya.

"Kadangkala saya suka menyanyi sambil main gitar, anak akan pegang kamera dan bersama-sama buat lagu. Ini ini cara kami luangkan masa berbeza dengan orang lain.

"Ibu bapa yang ada anak autisme jangan pernah rasa down, kena faham situasi dan keperluan anak-anak, nak keluar makan sediakan apa mereka nak. Tantrum itu perkara biasa, tapi mereka perlu dilayan seperti manusia lain," ujarnya.

Walaupun perjalanan hidupnya penuh ujian, kisah bapa tunggal ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar lahir daripada kasih sayang yang tulus.

Di sebalik tekanan dan kepayahan menguruskan dua anak autisme sendirian, Dr. Syihabuddin tetap memilih untuk bertahan dan melihat anak-anaknya sebagai sumber kekuatan dan cinta yang tidak akan pernah luntur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram