[VIDEO] Dari dapur ke pentas nasional, Khairul Aming penerima Anugerah Maulidur Rasul


  • Massa
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Khairul Amin atau mesra dengan panggilan Khairul Aming merupakan usahawan berpengaruh tanah air.

PENCIPTA kandungan digital yang juga pempengaruh dan usahawan, Khairul Amin Kamarulzaman, 33, diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya sempena sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M pada Jumaat. 

Memetik laporan Kosmo, turut menerima pengiktirafan ialah pelakon veteran tanah air, Angeline Tan, 58, atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan, yang dipilih bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).

Sementara itu, kategori Agamawan/Kepimpinan Dakwah disampaikan kepada Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan merangkap Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang, 77, atas sumbangan besarnya dalam memartabatkan pendidikan pondok dan syiar Islam. 

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Tunggulah 2-3 minggu sebelum belanjakan MyKasih’, tinggalkan saja barang angkara sistem tergendala cetus polemik

BACA LAGI: Bung Mokhtar Ketua Menteri Sabah? Terlalu awal tentukan calon — Khaled Nordin

Bagi kategori Wira Negara, anugerah dianugerahkan kepada Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani, 58, sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam bidang keselamatan serta khidmat kepada masyarakat.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, Dayang Nur’ Maisarrah Abang Abdul Razak, 27, diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Belia Harapan. 

Bagi kategori Pengkarya/Inovator Kreatif, anugerah diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin, 41, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri kreatif tempatan.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Majlis gilang-gemilang itu berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dan menghimpunkan pelbagai tokoh daripada pelbagai bidang yang diraikan atas jasa serta sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram