
PERCUTIAN impian dua pempengaruh ke French Riviera bertukar kecoh apabila mereka tersilap menaiki penerbangan ke destinasi lain iaitu bukan ke Nice, Perancis seperti dirancang, sebaliknya ke Tunis, ibu kota Tunisia, Afrika Utara.
Kisah itu tular selepas salah seorang daripada mereka, Brittney Dzialo memuat naik rakaman di TikTok yang kini meraih jutaan tontonan.
Dalam video berkenaan, Dzialo bersama rakannya kelihatan panik selepas menyedari pesawat yang mereka naiki bukan menuju ke Nice, sebaliknya ke Tunis.
BACA LAGI: [VIDEO] Cabaran urus Airbnb: Rumah bersepah, bil elektrik melambung, tetapi hasil cecah RM112,000
BACA LAGI: Lelaki, wanita siapa cepat move on? 5 tip untuk sembuh dari ‘luka’ perpisahan
Keadaan mula mencurigakan apabila mereka berbual dengan penumpang lain yang memberitahu destinasi sebenar penerbangan itu.
Malah, setiap tempat duduk dalam pesawat turut tertera perkataan Tunisia pada sarung kepala kerusi.
“Kami sepatutnya ke Nice, Perancis. Kami tersalah penerbangan,” kata Dzialo kepada seorang pramugari dalam rakaman tersebut.
Namun, usaha mereka untuk turun segera tidak kesampaian kerana bagasi sudah pun dimuatkan ke dalam kargo.
Akhirnya, kedua-dua wanita itu diarahkan meneruskan penerbangan ke Tunis sebelum mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi sebenar.
Kesilapan tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham ketika membuat tempahan tiket.
Sebutan Nice (dibaca Nis) disangka sebagai 'Tunis' sehingga menyebabkan mereka diberikan laluan ke benua lain.
Setiba di Tunisia, keadaan menjadi lebih sukar apabila mereka berdepan masalah komunikasi kerana perbezaan bahasa.
Dzialo mendakwa layanan daripada kakitangan syarikat penerbangan juga agak kasar, malah ada pegawai yang menengkingnya.
Dalam keadaan terdesak, beliau cuba menggunakan hak penumpang di bawah peraturan Kesatuan Eropah (EU Regulation) bagi menuntut bantuan mendapatkan penerbangan ke Perancis.
Katanya, selepas berjam-jam menunggu, barulah pihak syarikat membantu mencari tiket lain sehingga terpaksa meminta kapten menahan pesawat yang hampir berlepas.
Keesokan harinya, mereka akhirnya tiba di destinasi sebenar.
Dzialo menutup kisah penuh drama itu dengan satu foto di sebuah air pancut sambil menulis kapsyen sinis, “Nice, Perancis.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram