
SYARIKAT terlibat dalam industri kreatif seperti fotografi, videografi dan solekan tidak dibenarkan mengambil pekerja asing bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Singapura.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bersama Persatuan Profesional Visual, Audio dan Kandungan Kreatif (Vicpa) Singapura dalam nasihat bersama bertarikh 11 September menegaskan, warga asing yang berada di Singapura dengan pas pelancong atau pas pelajar tidak dibenarkan bekerja, termasuk menawarkan perkhidmatan kreatif kepada pelanggan.
Langkah itu dibuat selepas MOM menerima maklumat bahawa terdapat syarikat yang mengupah pekerja asing untuk perkhidmatan perkahwinan.
BACA LAGI: Nak hidup minimalis, rumah lebih lapang, ini 10 benda anda patut 'stop' beli
MOM mengingatkan, perbuatan tersebut menyalahi Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing (EFMA).
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM69,600, hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak yang menggaji pekerja asing tanpa pas kerja sah juga boleh dikenakan hukuman yang sama.
Selain itu, warga asing yang melanggar undang-undang berisiko disenarai hitam daripada memasuki atau bekerja di Singapura pada masa hadapan.
Setiausaha Eksekutif Vicpa, Jagathishwaran Rajo berkata, pihaknya menerima semakin banyak aduan daripada penggiat kreatif tempatan berhubung cabaran yang ditimbulkan oleh pekerja bebas asing tanpa pas kerja.
"Antara isu yang dibangkitkan ialah persaingan harga tidak adil kerana pekerja bebas asing mengenakan caj lebih rendah, sedangkan tenaga tempatan perlu membuat caruman MediSave, menanggung kos peralatan, insurans dan cukai perniagaan," katanya.
Beliau menambah, masalah itu semakin ketara susulan kemudahan media sosial yang membolehkan pekerja bebas asing mempromosikan perkhidmatan terus kepada pelanggan.
"Kami dapati kes ini bukan sahaja melibatkan perkhidmatan perkahwinan, malah sektor lain seperti fotografi, videografi, solekan dan kerja bebas berkaitan," ujarnya.
Vicpa yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) kini memantau platform media sosial dan memberikan maklumat kepada MOM untuk tindakan lanjut.
"Kami tidak berniat menyekat persaingan, sebaliknya mahu memastikan padang persaingan yang adil supaya bakat kreatif tempatan dihormati dan disokong," kata Jagathishwaran. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram