Atiqa Mir pelumba termuda terpilih sertai program akademi permotoran dunia, selangkah ke litar F1


  • Bonda
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Atiqa Mir memasang impian besar untuk bergelar pelumba Formula 1 pertama India satu hari kelak.

BIARPUN baru berusia 10 tahun, kanak-kanak kelahiran Srinagar, India, Atiqa Mir membuktikan dirinya mampu mara ke pentas antarabangsa dalam kejohanan perlumbaan go-kart baru-baru ini.

Usai kejayaan dikecapi, Atiqa memasang impian untuk menjadi wanita pertama era moden yang beraksi di pentas Formula 1 (F1).

Tahun lalu, Atiqa mara ke pusingan akhir Rotax Max Challenge International dan menjuarai perlumbaan di litar berprestij Le Mans, Perancis.

BACA LAGI: Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Pencapaian itu sekali gus melakar sejarah sebagai gadis India dan Asia pertama yang menjejakkan kaki ke peringkat sejauh itu.

Rentetan kejayaan tersebut, Atiqa kini terpilih menyertai program Discover Your Drive Akademi Formula 1, salah satu inisiatif khas untuk membangunkan bakat wanita dalam sukan permotoran.

Lebih membanggakan, dia tergolong antara tiga peserta wanita yang terpilih dari seluruh dunia, malah yang paling muda.

Walaupun masih bersekolah rendah, rutin hariannya mirip seperti atlet profesional.

Rutian seharian Atiqa bermula seawal pukul 5.30 pagi di gimnasium, bersekolah hingga 3 petang, kemudian meneruskan latihan simulator dan kecergasan pada waktu malam.

Dalam pada itu, kejayaan beliau juga tidak terkecuali terbentuk daripada didikan keluarga.

Bapanya, Asif bukan sekadar keluarga, malah juga berperanan sebagai mentor dan penasihat strategi di sebalik setiap perlumbaannya di litar.

Walaupun sukar mengimbangi peranan sebagai jurulatih dan bapa, beliau yakin bahawa sokongan emosi sama penting dengan latihan teknikal.

"Sebagai ibu bapa, anda mahu lindungi anak, tetapi dalam masa sama perlu biarkan dia belajar daripada cabaran, itulah yang membentuk kekuatan sebenar," jelasnya.

Bukan sekadar kemenangan di litar, kisahnya membuktikan bahawa dengan disiplin, keyakinan dan dorongan ibu bapa, anak-anak mampu mencapai kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.

Sama ada dalam bidang akademik, seni mahupun sukan, setiap anak mempunyai potensi luar biasa dan ibu bapa perlu sentiasa memberi ruang serta dorongan agar mereka berani mengejar impian tanpa batasan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram