Bayi dalam kandungan bukan sekadar 'tidur', rupanya turut tersedu, tersenyum


  • Bonda
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Imbasan ultrasound menunjukkan bayi boleh bergerak apabila mendengar suara ibu atau muzik yang biasa dimainkan.

DALAM rahim ibu, janin bukan sekadar membesar, malah sudah mula mempamerkan pelbagai tingkah laku luar biasa.

Ia secara tidak langsung mencerminkan perkembangan deria, otot dan juga emosi si bayi sejak awal kandungan yang juga menjadi petunjuk perkembangan mereka.

Kajian agensi melaporkan bahawa bayi dalam kandungan bukan sekadar 'tidur' menunggu masa dilahirkan, sebaliknya mereka aktif meneroka persekitaran seawal trimester pertama.

BACA LAGI: Atiqa Mir pelumba termuda terpilih sertai program akademi permotoran dunia, selangkah ke litar F1

BACA LAGI: Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...

Selain tersenyum atau mengalami fasa mimpi, berikut beberapa lagi aktiviti penting yang bayi sudah mula lakukan sejak berada dalam kandungan.

1. Bertindak balas terhadap rangsangan

Seawal lapan minggu kehamilan, janin mula bertindak balas terhadap cahaya, bunyi dan sentuhan.

Imbasan ultrasound menunjukkan mereka boleh bergerak apabila mendengar suara ibu atau muzik yang biasa dimainkan.

Malah, menjelang trimester ketiga, bayi dapat menyimpan ingatan terhadap bunyi yang kerap didengari, sesuatu yang membantu proses perkembangan bahasa selepas lahir.

2. Berlatih pernafasan

Walaupun belum menghirup udara, bayi sudah boleh menyedut dan menghembus cecair amniotik sekitar pertengahan kehamilan.

Pergerakan itu penting kerana ia melatih otot paru-paru dan mempersiapkan sistem pernafasan untuk digunakan sebaik sahaja bayi dilahirkan.

Pemakanan ibu hamil memainkan peranan penting terhadap tumbesaran bayi dalam kandungan. — Gambar hiasan/Freepik

3. Menelan dan mencerna

Sekitar minggu ke-11, janin mula menelan cecair dan proses tersebut melatih sistem pencernaan mereka sambil membantu mengawal jumlah cecair dalam rahim.

Lebih menarik, makanan yang dimakan ibu boleh sampai ke dalam air ketuban, menjadikan bayi terdedah kepada pelbagai zat dan mineral sejak awal lagi.

4. Sedu (Hiccup)

Fenomena sedu lazimnya berlaku selepas minggu ke-20 dan merupakan perkembangan penting dalam menguatkan otot pernafasan bayi.

5. Bertindak balas terhadap emosi ibu

Kajian mendapati hormon stres atau kegembiraan yang dilepaskan oleh tubuh ibu boleh sampai kepada bayi melalui plasenta.

Maka, perasaan dan emosi ibu memainkan peranan besar kerana bayi mampu merasai perubahan tersebut yang boleh berlanjutan selepas kelahiran.

Menyokong perkembangan otak bayi

Pakar perubatan menekankan bahawa pengalaman pranatal itu boleh dipengaruhi oleh gaya hidup dan kehidupan seharian ibu.

Antara aktiviti yang terbukti menyokong perkembangan otak janin ialah:

- Membacakan buku cerita atau bercakap dengan bayi untuk rangsangan bahasa awal.

- Mengamalkan diet seimbang dan suplemen pranatal seperti asid folik dan vitamin D yang penting untuk perkembangan otak serta tulang.

- Melakukan senaman ringan yang meningkatkan aliran darah ke rahim.

- Mendengar muzik menenangkan boleh membantu kestabilan emosi ibu serta memberi impak kepada bayi.

- Beraktiviti di bawah cahaya matahari untuk mendapatkan vitamin D semula jadi, penting bagi pertumbuhan tulang dan sistem imun.

Justeru, ketahuilah bahawa bayi dalam kandungan sebenarnya tidak bersifat pasif, sebaliknya sudah mula mempelajari banyak perkara penting sebelum dilahirkan.

Dari bernafas hingga bertindak balas terhadap emosi ibu, semuanya membuktikan bahawa kehidupan bermula awal menerusi pengalaman deria yang kompleks dalam janin.

Ibu yang menjaga emosi, pemakanan dan gaya hidup sihat sejak hamil bukan sahaja memastikan kehamilan baik, malah memberi peluang terbaik untuk anak membesar dengan perkembangan otak serta tubuh yang optimum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram