Konfeti merah, biru, Syasya Rizal bakal lahir bayi kembar?


  • Bonda
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Syasya Rizal dan suami mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

PENYANYI popular, Syasya Rizal atau nama penuhnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, sekali lagi mencuri perhatian peminat apabila mengumumkan dirinya kini berbadan dua.

Lebih menarik, pengumuman tersebut dibuat dalam cara cukup kreatif sehingga mencetuskan spekulasi bahawa bekas anggota kumpulan Dolla itu mungkin bakal menimang cahaya mata kembar.

Menerusi video dimuat naik di instagram, dia dan suaminya, Nasrullah Mohd Sapie, meletupkan konfeti berwarna merah jambu dan biru, sekali gus mencetuskan tanda tanya jantina anak keduanya nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pressure dia sejak kecil', Remy Ishak daftar anak prasekolah, kelas renang demi perkembangan sihat

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah, malah ada yang sudah dapat menjangka berita kehamilan tersebut selepas melihat kelibat baby bump Syasya dalam beberapa video terdahulu.

 

 

"Sudah agak dia hamil, Alhamdulillah kalau kembar!” tulis hanissapri.

Sekadar info, Syasya mendirikan rumah tangga bersama Nasrullah pada 20 April 2024 dalam sebuah majlis meriah yang diadakan di ibu negara.

Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Yassir Hayyan yang dilahirkan pada 23 Disember 2024.

Namanya mula dikenali sebagai salah seorang anggota Dolla, sebuah kumpulan pop wanita yang mencipta fenomena dengan lagu-lagu popular seperti Dolla Make You Wanna dan Impikan.

Penampilannya bersama kumpulan itu bukan sahaja membuka ruang luas dalam dunia seni, malah menjadikannya antara artis muda yang digemari generasi baharu.

Selepas meninggalkan Dolla pada 2023, Syasya meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo dan terus aktif dalam bidang seni nyanyian serta media sosial.

Sehingga kini, popularitinya tidak pernah surut malah semakin berkembang dengan sokongan padu daripada para peminat di samping kebahagiaan dimiliki bersama suami tercinta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram