Pengembara wanita kongsi pengalaman situasi rusuhan di Nepal, sebelum daki Himalaya siap siaga 4 perkara ini


  • Maya
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Seorang pengembara wanita menggunakan akaun @fazleennazri berkongsi suasana terkini rusuhan dan protes berlaku di Nepal.

SEORANG rakyat Malaysia kini berada di Nepal berkongsi pengalaman berdepan rusuhan besar yang melanda negara Himalaya itu sejak awal September.

Memimpin kumpulan pendaki Women Hiking Nepal 2025 bersama 12 wanita tempatan lain, keadaan di sana dikatakan agak tegang, namun masih terkawal bagi pelancong asing yang mematuhi arahan keselamatan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pressure dia sejak kecil', Remy Ishak daftar anak prasekolah, kelas renang demi perkembangan sihat

BACA LAGI: Konfeti merah, biru, Syasya Rizal bakal lahir bayi kembar?

"Yang bakar-bakar tu ada, tentera ambil alih, kedai banyak tutup malam tak boleh keluar, makanan dan minuman masih ada, tapi mesin ATM tak boleh guna,” kata @fazleennazri di laman Threads.

Akui situasi agak berbeza dari kebiasaan, wanita tersebut menjelaskan bahawa kebanyakan penduduk Nepal menyokong protes berkenaan kerana mahu menentang korupsi dan nepotisme kerajaan.

Jelasnya, banyak kerosakan dan kebakaran berlaku, namun rata-ratanya disasarkan kepada bangunan dan harta milik ahli politik yang dituduh korupsi.

"Rakyat Nepal ni baik, orang Malaysia memang kesukaan mereka. Bila saya borak dengan orang tempatan ramai setuju dengan protes ni.

"Besar hati mereka nak perubahan, Gen Z pula ketua memang darah panas, banyak kerosakan dan kebakaran berlaku.

"Tapi semua kena mengena dengan menteri je yang bukan menteri dorang tak kacau, orang atas dah lari ke negara lain, lapangan terbang hari tu ditutup dan dijaga oleh tentera," katanya.

Beliau pada masa sama turut menambah bahawa rakyat biasa dan pelancong tidak diganggu, manakala kawasan pelancongan masih beroperasi dalam suasana sederhana meskipun tidak senormal seperti kebiasaan.

Orang ramai yang merancang untuk bercuti atau mendaki Himalaya digesa perlu lebih berhati-hati dan membuat persediaan sebelum menjejak ke Nepal antaranya:

1. Membawa wang tunai kerana mesin ATM banyak ditutup.

2. Memaklumkan keberadaan kepada kedutaan Malaysia.

3. Menyimpan salinan pasport serta insurans perjalanan.

4. Menyediakan makanan segera untuk kegunaan kecemasan.

Walaupun sektor pelancongan agak terganggu, kumpulan wanita Malaysia tersebut masih dapat berehat dengan selamat di hotel selepas selesai menjalankan aktiviti pendakian.

Rakyat Nepal mencetuskan rusuhan dan keganasan sebagai tindak balas terhadap korupsi pimpinan kerajaannya. — Agensi

Setakat ini, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan ratusan individu dilaporkan cedera sejak protes meletus.

Perdana Menteri K.P. Sharma Oli dilaporkan telah meletakkan jawatan dan meninggalkan negara, manakala tentera kini mengambil alih kawalan keselamatan serta sedang berbincang bersama wakil penunjuk perasaan untuk menubuhkan kerajaan interim.

Rusuhan itu turut menyaksikan bangunan kerajaan, hotel mewah dan kediaman ahli politik musnah dibakar, manakala ribuan banduan dilaporkan melarikan diri daripada penjara.

Meskipun begitu, rakyat tempatan tetap menzahirkan semangat kebersamaan dan menunjukkan sokongan padu terhadap tuntutan perubahan politik.

Bagi pelancong Malaysia, keselamatan masih terjamin sekiranya mematuhi arahan pihak berkuasa, berhubung rapat dengan kedutaan serta mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang berada di Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram