
PERJALANAN hidup dan kejayaan individu sering kali berkait rapat dengan sokongan keluarga dalam apa jua bidang pelajaran diceburi ketika muda.
Bukan sekadar memori, tetapi ia juga menjadi momen berharga yang wajar dikenang sebagai detik awal kepada segala pencapaian dikecapi pada hari ini.
Begitulah yang dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apabila beliau memuat naik foto throwback bersama ibu bapanya saat bergelar peguam bertauliah kira-kira 22 tahun lalu usai pulang pengajian dari Australia.
BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an
Menerusi hantaran di Instagram, Hannah turut menitipkan pesanan kepada golongan muda bahawa masa depan mungkin berbeza daripada apa dipelajari semasa di universiti.
"Bersama ibu bapa saya kira-kira 22 tahun yang lalu apabila saya menjadi peguam bertauliah di Malaysia selepas pulang dari Australia," katanya.
Menurutnya, pengalaman ditempuh di zaman universiti banyak membentuk dirinya, walaupun realiti kerjaya selepas pulang ke tanah air berbeza dengan apa dipelajari di zaman kolej.
Beliau pada masa sama turut menitip pesanan kepada golongan muda agar menghargai setiap ilmu dan kemahiran yang diperoleh kerana ia pasti berguna pada masa depan.
"Bagi generasi muda, masa depan mungkin kelihatan berbeza daripada persediaan di universiti, tetapi setiap kemahiran dan latihan yang anda terima adalah berharga untuk kerja yang menanti," ujarnya.
Hannah yang kini mengetuai Kementerian Belia dan Sukan, sebelum ini menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Tasmania, Australia sebelum pulang dan memulakan kerjaya sebagai peguam di Malaysia.
Sekadar info, Hannah atau nama penuhnya Hannah Yeoh Tseow Suan lahir pada 9 Januari 1979 di Subang Jaya, Selangor dan merupakan anak sulung daripada empat beradik yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga serba sederhana.
Hannah Yeoh kini memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan negara sejak 2022.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Subang Jaya dan SMK Subang Utama, Selangor, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke University of Tasmania, Australia, dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) pada 2001.
Sekembalinya ke tanah air, Hannah dinamakan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2013, sekali gus mencatat sejarah sebagai wanita termuda dan pertama menjawat jawatan itu pada usia sekitar 34 tahun.
Kini, sebagai Menteri Belia dan Sukan sejak Disember 2022, beliau sebelum ini turut berpengalaman sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (2018-2020) selain bergelar Ahli Parlimen Segambut sejak 2018.
Foto dimuat naik bersama ibu bapanya bukan sekadar memperingati saat beliau bergelar peguam, tetapi juga menonjolkan nilai pengorbanan, sokongan keluarga dan kesungguhannya yang menjadi asas kepada segala pencapaian dikecapi hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram