
DARIPADA sekadar mencuba resipi dumpling di dapur rumah akhirnya menjadi titik mula buat seorang wanita berbangsa Melayu untuk mengusahakan perniagaan yang dikenali dengan nama unik, Budak Melayu Jual Dumpling.
Pemiliknya, Nadia Mahadi, 38, pada asalnya bukanlah pengusaha makanan sepenuh masa.
Selepas menamatkan pengajian diploma, beliau hanya bekerja seketika dalam bidang pengurusan sebelum berhenti demi memberi tumpuan kepada keluarga.
Namun segalanya berubah ketika suaminya diberhentikan kerja sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara.
“Lepas suami diberhentikan kerja, kami cari alternatif untuk tambah pendapatan.
"Mula-mula saya cuba jual sushi dari rumah tapi lama-lama rasa macam susah nak kekalkan.
"Dari situ saya cuba jual dumpling pula sebab saya fikir orang Melayu pun suka makanan Cina,” katanya kepada Majoriti.
Nadia menunjukkan antara menu dim sum dan dumpling yang disediakan di kedainya.
Perniagaan kecil yang bermula pada 2021 itu pada awalnya hanya dari dapur rumah.
Selepas dua tahun berniaga secara dalam talian dan di gerai kecil, Nadia dan suami akhirnya membuka kedai fizikal terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur untuk menampung permintaan.
Nama Budak Melayu Jual Dumpling bukan sahaja menjadi identiti, malah strategi pemasaran ibu kepada tiga cahaya mata itu.
“Mulanya ramai yang ragu-ragu sama ada dumpling ini dibuat oleh orang Melayu.
"Jadi selepas berfikir, saya tukar nama supaya jelas memang kami sendiri yang hasilkan, sekali gus orang lebih yakin sebab tahu ia halal,” ujarnya yang turut dibantu suami, Mohd Saffiq Mazelan, 36.
Antara menu ditawarkan termasuk pilihan dumpling ayam, daging, udang selain dim sum, serta chee cheong fun (gulungan mi beras kukus), yang popular di Malaysia, Singapura dan Hong Kong.
Berkongsi menu pilihan ramai, menurut Nadia, dumpling ayam dan udang antara yang paling laris.
Menariknya, perniagaan tersebut bukan hanya menarik pelanggan Melayu, malah turut mendapat sambutan daripada masyarakat Cina dan India.
“Orang Cina pun ada beli. Malah ada yang teruja sebab mereka nak rasa versi halal yang kami buat,” jelasnya.
Dumpling udang (kiri) dan chee cheong fun yang disediakan di kedai Nadia. — Instagram/budakmelayujualdumpling
Persepsi
Namun adat berniaga tidak semuanya indah, pasti tidak lari daripada cabaran.
Beliau yang dilahirkan di Teluk Intan, Perak dan membesar di ibu kota mengakui, persepsi segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan peniaga Melayu menjual makanan Cina pernah didengarinya.
“Ada juga yang bertanya-tanya kenapa nak jual makanan Cina, bukan sajian kaum Melayu?
"Namun saya tak ambil hati dan anggap ia peluang untuk jelaskan niat kami.
"Kami nak mudahkan orang Islam menikmati masakan kaum Cina dengan yakin,” tambahnya.
Dalam sehari, produksi dumpling mereka mampu mencecah 400 hingga 500 biji dengan bantuan beberapa pekerja.
Melihat sambutan yang semakin positif, Nadia merancang untuk menambah variasi menu, khususnya yang mesra vegetarian supaya lebih ramai pelanggan boleh menikmatinya.
Kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan makanan, terutama di luar zon selesa, Nadia berpesan:
“Kalau ada idea, teruskan sahaja. Jangan terlalu risau dengan kecaman orang.
"Konsisten, yakin dengan produk sendiri dan terus belajar. Lama-lama orang akan nampak kesungguhan kita,” pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram