
DALAM rumah tangga, menjaga ibu bapa suami kadangkala menjadi tanggungjawab tambahan bagi isteri.
Baru-baru ini, seorang wanita mengajukan soalan di media sosial mengenai tanggungjawab menjaga ibu bapa suami.
Persoalannya, adakah isteri berhak menuntut upah untuk tugas itu sedangkan nafkah asalnya sudah ditetapkan?
Nur Syuhada Adnan menjelaskan mengenai hak wanita.
Tampil mengulas lanjut, Peguam Syarie, Nur Syuhada Adnan menjelaskan bahawa nafkah isteri mengikut syariah merangkumi tiga perkara utama iaitu rumah, makan minum dan pakaian.
"Menjaga ibu bapa suami tidak termasuk dalam tanggungjawab wajib isteri. Itu tanggungjawab si suami tu sendiri untuk jaga ibu bapa kandung dia," katanya kepada Majoriti.
Menurut Nur Syuhada, terdapat dua situasi utama:
Isteri Menjaga Mertua Secara Rela Hati
Sekiranya suami meminta isteri menjaga ibu atau bapa mertua dan isteri bersetuju secara rela hati tanpa meminta sebarang upah, maka tiada kewajipan untuk suami memberikan bayaran tambahan.
Tanggungjawab menjaga ibu bapa pada asasnya terletak pada suami atau anak-anak mereka sendiri.
Isteri Menjaga Mertua dengan Syarat Upah
Namun, jika isteri bersetuju untuk menjaga mertua tetapi meletakkan syarat supaya diberikan upah khas, maka suami wajib memenuhi tuntutan ini.
“Kalau dia rela hati pun, tetapi ada persetujuan mengenai upah, maka suami wajib membayar si isteri untuk bantu jaga si ibu,” kata Nur Syuhada.
Pandangan itu menegaskan hak wanita untuk mendapatkan pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya apabila mereka melakukan tanggungjawab tambahan di luar nafkah asal.
Ia juga memberi peringatan kepada pasangan suami isteri agar saling berbincang dan menetapkan batas tanggungjawab agar tiada pihak terbeban atau merasa teraniaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram