
SEBUAH bengkel kereta di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian ramai apabila menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan dengan menggabungkan servis baik pulih kenderaan bersama rawatan kecantikan.
Girls Auto Clinic (GAC) yang diasaskan oleh Patrice Banks bukan sahaja menyediakan khidmat asas seperti menukar minyak enjin, tayar dan pemeriksaan lampu amaran enjin, malah pelanggan turut berpeluang menikmati rawatan kuku tangan (manicure) dan kuku kaki (pedicure) di Clutch Beauty Clinic sambil menunggu kereta siap diselenggara.
Lebih menarik, semua kerja baik pulih dilakukan sepenuhnya oleh pasukan mekanik wanita yang digelar sebagai 'shecanics'.
BACA LAGI: Serik ditipu pomen, wanita asal Gerik buka sendiri bengkel Aida Misspomen
Menurut Banks, ilham menubuhkan GAC pada 2017 tercetus daripada pengalamannya sendiri yang sering berasa tidak yakin dan bimbang ditipu ketika berurusan di bengkel kereta.
"Saya pernah dipaksa membayar kos baik pulih yang mahal untuk sebuah kereta yang hampir baharu.
“Saya penat rasa tak berdaya dan terpaksa bercakap dengan lelaki selain takut akan dipergunakan,” katanya memetik laporan International Business.
Banks memutuskan untuk membangunkan bengkel Girls Auto Clinic pada 2017.
Berhenti kerja
Gagal menemui mekanik wanita, wanita berusia 44 tahun itu akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi mekanik sendiri.
Pada waktu siang, Banks bekerja sebagai jurutera di DuPont, meneliti bagaimana peralatan di loji pemprosesan kimia seperti emparan (centrifuge) mengalami kerosakan.
Di sebelah malam pula, beliau menyelami enjin kereta di sebuah kolej komuniti, mempelajari segala-galanya daripada cara memeriksa minyak enjin hingga menukar rotor brek.
“Saya tidak percaya ramai wanita tidak tahu melakukan perkara-perkara ini. Saya belajar bersama budak lelaki berusia 18 tahun, bukannya saintis roket!” ujarnya yang menyukai pembelajaran tersebut.
Sebulan selepas menamatkan pengajian, Banks melepaskan gaji enam angkanya dan menerima pekerjaan di sebuah bengkel kereta sehinggalah memutuskan untuk membangunkan perniagaan sendiri.
Pelanggan berpeluang menikmati rawatan kuku tangan dan kuku kaki di Clutch Beauty Clinic sambil menunggu kereta siap diselenggara.
Salun
Katanya, inspirasi menggabungkan bengkel dengan salun kecantikan datang daripada rutin beliau dan rakan sekerja yang sering menghantar kereta ke sebuah pusat servis berhampiran salun kuku.
“Kami akan tinggalkan kereta dan pergi buat kuku sementara menunggu. Dari situ idea ini lahir,” ujarnya yang mewujudkan gerakan #sheCANic.
Selain menawarkan servis unik, GAC turut menyediakan keahlian penjagaan kereta, kelas pendidikan automotif dan bengkel mekanik praktikal khusus untuk wanita bagi memberi mereka ilmu serta keyakinan menguruskan kenderaan sendiri.
Usaha Banks memberi inspirasi kepada wanita di seluruh AS untuk lebih yakin, sama ada ketika memandu mahupun berada di bengkel.
“Ramai wanita datang dengan perasaan waspada. Untuk mendapatkan kepercayaan mereka, anda perlu mendengar, menghormati pendapat dan memastikan mereka selesa berbelanja,” tambahnya.
Usaha Banks memberi inspirasi kepada wanita di seluruh AS untuk lebih yakin, sama ada ketika memandu mahupun berada di bengkel.
Fenomena tersebut turut mencerminkan trend baharu dalam industri automotif di AS.
Statistik Biro Buruh negara itu menunjukkan penyertaan wanita dalam industri baik pulih kereta meningkat daripada hanya 1.4 peratus pada tahun 1999 kepada 12.3 peratus pada 2023.
Perkembangan itu membuktikan semakin ramai wanita kini berani meneroka bidang yang selama ini didominasi kaum lelaki, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia automotif. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram