'Dianggap pembawa malang', wanita imbau kenangan waktu kecil, disisih kerana tiada rupa, pencapaian seperti kakak


  • Cinta
  • Khamis, 31 Jul 2025

Manja sering dimarahi oleh ibunya sejak kecil kerana dianggap sebagai anak yang tidak diinginkan. — Gambar Hiasan

DI saat ramai kanak-kanak dibesarkan dengan belaian, pelukan hangat ibu dan perhatian penuh kasih sayang, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Manja berkongsi sisi kehidupan berbeza yang dipenuhi rasa sunyi dan luka emosi yang masih membekas sehingga ke besar. 

Dalam satu hantaran menyentuh hati yang dimuat naik di laman Instantaneous Intuitive Upright Moving (IIUM) Confessions, Manja membuka kisah silamnya sebagai seorang anak yang tidak pernah diraikan dan tidak pernah dicintai.

“Saya lahir ketika ibu belum bersedia. Dia menangis bila dapat tahu dirinya mengandungkan saya,” katanya.

BACA LAGI: 'Sampai makan dalam tandas, takut nak ke sekolah', Ayda Jebat imbas pengalaman diburu 'senior', tampil bersuara isu Zara Qairina

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kita perlu tahu bila masa untuk pergi', Uyaina Arshad undur diri dari WHI selepas 9 tahun

Wanita yang kini berada dalam lingkungan awal 20-an itu merupakan anak keempat daripada enam beradik. 

Sejak kecil, dia sering dibandingkan dengan kakaknya yang bukan sahaja cantik, malah cemerlang dalam pelajaran. 

Manja pula dianggap sebaliknya iaitu kurang dari segi rupa, lemah akademik dan sering menjadi sasaran sindiran.

“Orang puji kakak dan ibu saya cantik. Bila tengok saya, mereka diam… atau tanya kenapa saya lain. Ada yang cakap saya gemuk. Ada yang tanya kenapa muka tak sama," katanya. 

Manja disuruh untuk membasuh baju abangnya. — Gambar Hiasan

Lebih menyedihkan, Manja secara tidak sengaja terdengar ibunya bercerita dengan kakaknya bahawa kehamilan dirinya adalah di luar perancangan. 

Walaupun sudah mengambil langkah pencegahan, ibunya tetap mengandung dan terpaksa menerimanya dalam keadaan yang tidak bersedia.

“Sejak dalam kandungan lagi, saya sudah dianggap beban," katanya. 

Menurut Manja, kehidupan keluarganya seakan berubah sejurus selepas dia dilahirkan.

Katanya, ketika dia lahir, ayahnya kehilangan pekerjaan, kereta keluarga ditarik dan ekonomi rumah mulai merosot. 

Keadaan itu membuatkan dia dianggap sebagai pembawa malang dalam keluarga.

Berbeza dengan adik-beradik lain, Manja turut berasa sedih apabila gambar zaman bayinya hampir tiada. 

“Saya tak ada banyak gambar masa bayi. Yang lain semua ada. Macam saya tak layak untuk dikenang," katanya. 

Tidak hanya itu, Manja berkata, dia sering dipukul oleh ibunya walaupun hanya melakukan kesalahan kecil, selain menjadi mangsa buli bagi abang dan kakaknya.

“Abang menyuruh saya mencuci pakaian menggunakan tangan walaupun ketika itu saya masih kecil. Apabila tidak bersih, saya dimarahi ibu. Saya menangis hampir setiap malam kerana berasa tidak berguna," katanya. 

Lebih menyedihkan, Manja tidak dibenarkan untuk tidur bersama adik-beradiknya kerana dianggap sebagai kotor, busuk dan tidak layak. 

Disebabkan itu, dia terpaksa menunggu sehingga semua adik-beradiknya tidur sebelum dibenarkan masuk ke bilik.

“Kalau mereka sedar saya ada di sebelah, mereka akan marah dan sepak saya turun dari katil. Kadang-kadang saya tidur di lorong lalu lalang," katanya. 

Walaupun membesar tanpa kasih sayang, Manja berkata, dia bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama jika suatu hari nanti bergelar ibu.

“Saya tidak mahu anak-anak saya berasa seperti saya. Saya mahu mereka disayangi, dihargai dan diterima seadanya," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram