
RAKYAT Malaysia terus membuktikan semangat keprihatinan yang tinggi apabila berjaya mengumpulkan lebih RM50,000 menerusi Program Dana Perubatan Star Foundation bagi membantu Chiet A/L Ailai, 15, dari Sik, Kedah, yang memerlukan pembedahan jantung segera.
Chiet sebelum ini disahkan menghidap supravalvular neo-aortic stenosis yang teruk iaitu keadaan jarang berlaku yang mengakibatkan penyempitan pada aorta di atas injap jantung, yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Dia dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawa.
BACA LAGI: Tingkatan 6 di bawah KPT mampu kikis persepsi 'STPM sebagai pilihan kedua' — Persatuan guru
Star Foundation merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang membantu menjayakan usaha mengumpul dana rawatan buat Chiet.
Kos keseluruhan prosedur berjumlah RM80,000, dengan sebanyak RM30,000 telah disalurkan oleh One Hope Charity & Welfare, sebuah badan kebajikan bukan berasaskan keuntungan.
Baki RM50,000 yang diperlukan untuk pembedahan itu berjaya dikumpul, bahkan lebih mengharukan kutipan tersebut melepasi sasaran berkat sokongan dan sikap pemurah orang ramai.
Terdahulu, Majoriti melaporkan, Chiet menyimpan cita-cita bergelar jurutera mekanikal demi mengubah nasib keluarga yang hidup serba sederhana.
Pelajar SMK Lubok Merbau itu didiagnosis dengan kecacatan jantung kongenital yang jarang berlaku, dikenali sebagai Transposition of the Great Arteries (TGA) semasa bayi.
Pada usia hanya enam hari, Chiet sudah menjalani pembedahan pertukaran arteri yang kompleks dan berisiko tinggi di sebuah hospital di Pulau Pinang yang menyelamatkan nyawa hingga hari ini sebelum pemeriksaan rutin di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada Februari lalu mendapati dia mengalami supravalvular neo-aortic stenosis.
Chiet menjalani pembedahan di IJN dengan kos keseluruhan pembedahan dianggarkan berjumlah RM80,000. — Gambar hiasan
Star Foundation kini telah menutup kempen kutipan derma untuk Chiet dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang membantu menjayakan usaha ini.
Sebarang lebihan sumbangan akan digunakan untuk membantu pesakit lain yang layak di bawah program ini.
Bagi penderma yang ingin mendapatkan resit pengecualian cukai, anda digalakkan untuk melengkapkan Borang Sumbangan Dana Perubatan di laman web rasmi Star Foundation.
Star Foundation merupakan cabang kebajikan Star Media Group. Sejak ditubuhkan pada 2016, yayasan itu banyak membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan yang penting.
Untuk maklumat lanjut, layari starfoundation.com.my atau e-mel ke [email protected]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp