
DALAM dunia koleksi figurin, Marvin Chan menggemari mainan logam mekanikal yang semakin jarang didapati.
Minat tersebut bukan sekadar hobi sebaliknya turut mencerminkan detik awal kebangkitan China sebagai kuasa perindustrian dunia.
Dilahirkan di Hong Kong pada pertengahan 1960-an, Chan bukan hanya sekadar pengumpul mainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Sukan pickle ball makin canggih, gelanggang AI jadi tarikan Mothership
BACA LAGI: Kritik negativiti kapitalisme, pensyarah Unitar ubah teori perniagaan jadi instalasi seni kreatif
Chan yang merupakan pengasas Saint John, memberikan ucapan di College of Design and Innovation di Tongji University, Shanghai. — China Daily
Bagi beliau, setiap koleksi memiliki nilai sentimental tersendiri yang mencerminkan hasil seni reka industri yang berwarna-warni dan bukti kehalusan tangan tukang-tukang China dahulu kala.
“Sejak kecil, saya berpeluang bermain dengan pelbagai jenis mainan dari seluruh dunia, termasuk mainan logam buatan China.
“Walaupun saya memang suka mainan, saya tidak pernah terbayang hidup saya akhirnya akan berkait rapat dengannya,” katanya.
Segalanya berubah pada lewat 1980-an, semasa dia mengembara ke Kota Tinggi, Johor.
Ketika sedang bersiar-siar di sebuah kedai mainan kecil berdekatan terminal bas, dia menemui beberapa mainan logam lama dari awal 1980-an.
Bunyi mekanisme 'klik-klak' yang begitu dikenali serta bentuknya yang klasik menghidupkan semula kenangan silam.
“Rasanya seperti masa berpatah balik,” katanya penuh emosi sambil menggambarkan perasaan gembira semasa zaman kanak-kanak.
Minat itu menjadi misi peribadi selepas lawatan ke Yokohama pada 1994, apabila beliau berjumpa dengan Teruhisa Kitahara, seorang legenda kolektor mainan logam Jepun.
Koleksi Kitahara yang tersusun rapi selama lebih dua dekad memberi impak mendalam kepada Chan.
Koleksi robot D-73 keluaran syarikat mainan Saint John. — Saint John
“Saya tiba-tiba sedar bahawa mainan yang kelihatan ringkas ini sebenarnya membawa memori dari era berbeza.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk memelihara warisan budaya ini,” tutur pereka grafik
Sebagai hab bisnes antarabangsa, Hong Kong pada era 60-an dan 70-an adalah syurga mainan dari serata dunia.
Mainan seperti robot Jepun berlogam, figura aksi Amerika hingga ke mainan mekanikal dari tanah besar China, semuanya berkongsi rak-rak yang sama di kedai mainan di kota itu.
Namun satu mainan kekal terpahat dalam hati Chan ialah sebuah patung Ultraman berlogam buatan Jepun yang dihadiahkan ibu bapanya kerana cemerlang di sekolah.
“Setiap kali saya memutarnya, saya rasa seperti berjuang bersama Ultraman untuk melindungi keamanan galaksi. Mainan itu tak ternilai bagi saya,” katanya.
Mendapat inspirasi dari drama klasik TVB The Bund, Chan berpindah ke Shanghai pada tahun 1991.
Antara 1998 hingga 2008, dia banyak berulang-alik antara Shanghai, Hong Kong dan Singapura untuk mengkaji sejarah mainan China dan membina rangkaian perindustrian.
Pada 2005, beliau membuka Museum of Shanghai Toys di Singapura yang mempamerkan lebih 2,000 koleksi mainan buatan Shanghai dari tahun 1910 hingga 1970.
Namun detik yang ditunggu-tunggu hanya tiba pada tahun 2008, apabila sebuah kilang mainan logam di Shanghai mencari rakan kerjasama.
Chan mengambil keputusan besar dengan berpindah ke Shanghai secara tetap dan menubuhkan syarikat Saint John, membangunkan rekaan dan pembuatan mainan logam sendiri.
Sun Yonghao menunjukkan model Gundam di kedai mainannya, ILoveToy. — China Daily
Shanghai sememangnya kota perintis dalam pembuatan mainan. Pada tahun 1950-an, industri mainan logamnya berkembang pesat dengan inovasi teknikal dan pasaran eksport yang luas.
Malah, pada 1965, mainan logam Shanghai dipamerkan dalam skala besar di pameran pertama China di Hong Kong.
“Dari perspektif artistik, mainan logam vintaj termasuk pembungkusannya sering menampilkan lukisan tangan yang berseni. Ia bukan hanya menarik, malah memiliki nilai artistik sebenar,” kata Chan.
Sementara itu, di Tianjin, seorang kanak-kanak pemalu bernama Sun Yonghao jatuh cinta kepada dunia robot angkasa lepas selepas menonton siri animasi Gundam.
Siri ikonik dari Jepun ciptaan Yoshiyuki Tomino yang pertama kali ditayangkan pada 1979 itu memberi impak mendalam kepada budak-budak pada masa itu.
Bagi Sun sendiri, ia bukan hanya mengenai robot sebaliknya berkisar tentang seluruh universal yang dicipta, tentang peperangan, karakter dan makna di sebalik setiap watak.
Pada usia 15 tahun, setelah menabung selama setahun, Sun dengan wang sebanyak 220 yuan (RM126.90) membeli model TV Wing Gundam Zero.
Koleksi Sun Yonghao menampilkan Bumblebee (kiri) dari filem Transformers bersama model Gundam. — China Daily
Model itu menjadi koleksi kesayangannya yang bukan saja dipamerka di rak tetapi sudaj menjadi sebahagian daripada identitinya.
Sebaik menamatkan pengajian, Sun berkhidmat dalam industri automotif selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja tiga tahun lalu.
Dia berkongsikan koleksinya di media sosial dan meraih pengikut yang ramai.
Pada hari ini, Sun memiliki lebih 2,000 model Gundam dengan nilai melebihi 1 juta yuan.
Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Operasi di ILoveToy, sebuah jenama mainan China yang memiliki 18 cawangan di 10 bandar utama termasuk Beijing dan Shanghai.
ILoveToy menawarkan pengalaman interaktif lengkap dengan ruang bermain, menjadikan kedai tersebut sebagai tempat untuk berkongsi kegembiraan, bukan sekadar membeli.
“Saya mahu lakukan sesuatu yang buat orang seperti saya rasa gembira setiap hari,” kata Sun.
Bagi Zhang Yiyi, 32, pula melihat dunia mainan sebagai jalan untuk mengisi kekosongan zaman kanak-kanaknya yang ‘hilang’.
Dilahirkan dan dibesarkan di Harbin, wilayah Heilongjiang, Zhang kini menetap di Hangzhou di wilayah Zhejiang, dia kini seorang pereka mainan dan pempengaruh.
Koleksi mainan Zhang Yiyi merangkumi pelbagai IP termasuk Super Mario, Toy Story dan SpongeBob SquarePants. — China Daily
Zhang memulakan koleksi mainannya pada tahun 2021, selepas terinspirasi oleh filem animasi Toy Story.
“Mainan bantu hilangkan tekanan dan kebimbangan. Ia buat saya rasa gembira, walau sekadar dipamerkan di rumah.”
Beliau kini menghasilkan 10 siri reka bentuk mainan, termasuk Yibeiji iaitu ayam berdasarkan zodiak Cina dan Crazy Botanical Garden yang memaparkan tumbuhan animasi.
Berbalik semula kepada Chan, dia kini dalam misi menghidupkan semula minat terhadap mainan logam melalui kerjasama dengan artisan moden di Shanghai.
Sebagai Naib Presiden Shanghai Putuo Collectibles & Heritage Association, Chan kini mengetuai Jawatankuasa Penyelidikan Mainan Moden dan Kontemporari yang bertujuan melestarikan dan memodenkan budaya mainan untuk generasi baharu.
“Kami bekerjasama dengan akademik dan kolektor untuk mengangkat budaya mainan China ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Berdasarkan analisis pasaran oleh Analysys International (2021), industri mainan koleksi China kini berkembang pesat dengan lebih 35 peratus setahun. Pasaran dijangka mencecah 150 bilion yuan menjelang 2025.
Laporan itu membezakan antara mainan koleksi (vintaj dan bernilai tinggi seperti model kereta serta patung aksi) dan mainan pereka (trend semasa seperti ‘blind box’ yang lebih eksklusif).
“Sesetengah mainan pereka hanya popular seketika, namun ada juga yang menjadi klasik dan dihargai sepanjang zaman,” menurut laporan.
Chan pula lebih bersahaja dalam pendapatnya.
“Ramai cuba faham mengapa orang suka mainan. Tapi kadang-kadang, jawapannya mudah — kerana ia buat kita bahagia. Dan itu sudah mencukupi,” ujarnya ringkas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram