[VIDEO] Tak sentuh elaun belajar demi buat modal, mekanik wanita nekad sambung legasi bengkel ayah di Kuantan


  • Bisnes
  • Ahad, 29 Jun 2025

Sofea mula menguruskan perniagaan bengkel Pia Auto and Tyre di Kuantan, Pahang sejak 2023. — Facebook/Pia Auto and Tyre

DERU enjin, minyak hitam bagaikan sudah menjadi rutin harian.

Sedang asyik ramai anak muda sibuk dengan kerjaya moden, Sofea Nabila Saifonnizam memilih untuk menyambung legasi perniagaan ayahnya. 

Sofea yang kini menguruskan bengkel Pia Auto and Tyre di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang sepenuhnya sekali gus membuktikan kemampuan wanita dalam bidang automotif.

BACA LAGI: Angkat martabat usahawan tempatan, bekas orang kuat politik cetus revolusi AI, naik taraf industri PMKS serantau

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga

Kemahiran Sofea dalam bidang automotif berkembang sejak kecil. — Facebook/Pia Auto and Tyre

Baru berusia 22 tahun, Sofea tidak gentar menyahut cabaran menggalas tanggungjawab sebagai tunjang utama buat keluarga, apatah lagi dalam bidang yang dimonopoli lelaki.

Sofea berkata, minatnya mula berkembang selepas sering mengikut bapanya bekerja di bengkel sehingga memutuskan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di GiatMara.

Bercerita pula tentang bengkelnya, Sofea berkata, selain jual beli tayar, mereka juga lebih fokus kepada perkhidmatan menukar kotak gear kereta.

"Sebelum ini memang pakar dalam tayar, tetapi sekarang kami fokus kepada gear box (kotak gear) sebab permintaan tinggi," katanya kepada Majoriti.

Elaun belajar jadi modal

Dalam usaha meneruskan perniagaannya, Sofea sanggup menahan nafsu menggunakan elaun yang diperuntukkan untuk pengajiannya untuk dijadikan sebagai modal permulaan.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, wang yang disimpan sejak 2011 juga hasil bantuan daripada ibu bapanya.

Sofea menjadi inspirasi kepada wanita lain. — Facebook/Pia Auto and Tyre

"Semua elaun belajar saya simpan dan kumpul sampai dapat kira-kira RM40,000.

"Sepanjang saya belajar, saya hanya guna duit belanja dari mak dan ayah.

"Mak pun selalu pesan dan ingatkan jangan sentuh duit elaun sebab boleh guna untuk masa depan," jelasnya. 

Jujur dan dedikasi 

Selain cabaran untuk meraih keuntungan tinggi, Sofea tidak menafikan terpaksa menanam sikap tegas apabila bekerja dengan pekerjanya yang majoritinya terdiri daripada golongan lelaki.

Meskipun tidak kekok dan lebih selesa bekerja dengan lelaki, setiap tindakannya juga perlu diteliti dan diawasi.

"Bila bekerja dengan mereka, perlu agak tegas sebab kalau saya duduk diam, mereka pun buat perkara sama.

"Saya juga memang perlu sentiasa ada di bengkel untuk pastikan semua operasi lancar dan paling penting tiada pelanggan return kereta semula.

"Bila pelanggan buat begitu bermakna servis kita tak bagus dan kami perlu tanggung kos nak baiki semula," katanya sambil menambah bahawa setiap pelanggan tiga atau enam bulan jaminan. 

Kejujuran juga menjadi prinsip utama buat Sofea sepanjang mengendalikan operasi perniagaan.

Baginya, setiap pelanggan berhak mendapatkan servis terbaik di bengkelnya.

"Biasanya, saya akan bagitahu pelanggan kalau ada komponen yang tak perlu dibaiki.

"Ini untuk elakkan daripada mereka rasa tertipu dan hilang percaya pada bengkel kami," jelasnya. 

Bukan itu sahaja, semangatnya membawa perubahan dalam komuniti automotif tidak pernah putus.

"Saya juga selalu pergi acara berkaitan automotif dan bantu ajar orang ramai terutama wanita tukar tayar kereta dan sebagainya.

"Ramai cakap saya tak berjaya dalam akademik, tetapi, saya nak buktikan bahawa wanita pun boleh buat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram