
TIMBALAN Akauntan Negara (Korporat), Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa pada Rabu.
Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam satu kenyataan pada hari sama memaklumkan, pelantikan tersebut dibuat bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib pada 2 September lalu.
"Surat pelantikan Zainani sebagai Akauntan Negara telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya pada 27 Ogos lepas," menurut kenyataan itu.
BACA LAGI: Selain Hannah Yeoh, 4 menteri wanita milik kelebihan dan berdepan tugas besar
BACA LAGI: Shahrizat kembali aktif, cabar Noraini rebut jawatan no. 1 Wanita Umno
Berasal dari Tanah Merah, Kelantan, Zainani merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau juga merupakan akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam, Zainani memulakan kerjayanya pada 1994 sebagai akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.
"Sepanjang perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," tambahnya.
Zainani turut memainkan peranan penting dalam menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara dari manual kepada pendigitalan.
JANM menjelaskan, perubahan besar itu membolehkan pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia diurus dengan lebih cekap, tepat dan cepat.
Sebelum menjawat jawatan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, beliau pernah mengetuai Bahagian Khidmat Perunding JANM serta Bahagian Akaun Kementerian Kewangan dari 2019 hingga 2023.
Atas sumbangan dan kecemerlangan perkhidmatan, Zainani telah dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 2015.
"JANM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani bagi menggalas tugas dan amanah sebagai Akauntan Negara bermula dari 3 Sept 2025," ujar kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram