Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline


  • Bisnes
  • Rabu, 03 Sep 2025

Sistem MyKasih di sebuah pasar raya di Sungai Buloh tergendala gara-gara menerima lonjakan trafik yang tinggi. — AZLINA ABDULLAH/The Star

SISTEM MyKasih dilaporkan menghadapi lonjakan trafik, mencecah lebih 2,000 transaksi gara-gara ramai mahu menebus Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikreditkan pada 31 Ogos lalu.

Rentetan itu, sistem tersebut tergendala yang menyaksikan ramai pengguna 'terkandas' di kaunter pembayaran ketika mahu menyelesaikan transaksi.

Daripada situasi itu, nampaknya ramai yang memanfaatkan cuti hujung minggu dan cuti umum Hari Kebangsaan ke pasar raya dan kedai terpilih untuk menebus bantuan SARA yang diterima.

BACA LAGI: Transaksi SARA naik 4 kali ganda, perbelanjaan cecah RM192.4 juta seluruh negara

BACA LAGI: Bekas klien Puspen nekad ubah diri, kini tawar khidmat gunting rambut dari rumah di Puchong

Sebenarnya, tiada keperluan untuk tergesa-gesa menebus bantuan tersebut kerana tempoh penebusan masih panjang sehingga hujung tahun ini (31 Disember 2025).

Tindakan terburu-buru itu mungkin menyebabkan ada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bulanan yang berstatus miskin dan miskin tegar, tidak dapat berbelanja keperluan asas mereka gara-gara sistem offline.

Malah perkara itu turut dikongsikan seorang pengguna Facebook Syafeeq Radzif yang bersimpati dengan penerima STR kerana perlu berdepan situasi tidak diingini itu.

"Yang nak claim RM100 SARA tu, korang ada sampai hujung tahun untuk berbuat demikian. Tak perlu nak kalut-kalut.

"Kasihan kat penerima STR setiap bulan tu, sampai jem sistem," katanya.

Sehubungan itu, penerima Penghargaan SARA RM100 one-off diminta agar memanfaatkan tempoh yang diberi hingga hujung tahun untuk merancang pembelian secara lebih bijak dan bertoleransi dengan individu lebih memerlukan.

Untuk rekod, SARA bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berstatus miskin dan miskin tegar eKasih ialah program bersasar di mana penerima mendapat bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan.

Bantuan itu disalurkan bagi tempoh 12 bulan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.

Penghargaan SARA RM100 one-off pula disalurkan kepada 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia sempena Hari Kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram