
MASIH tercari-cari lokasi menarik untuk meluangkan masa bersama keluarga?
Jawapannya ada di DoubleTree by Hilton Putrajaya yang kini tampil sebagai destinasi pilihan utama untuk percutian seisi keluarga.
Bukan sekadar tempat beristirahat, hotel ini turut menawarkan pelbagai kemudahan mesra kanak-kanak serta pakej menarik bagi memastikan pengalaman yang menyeronokkan buat para pengunjung.
BACA LAGI: Rawatan wajah, badan di Mandara Spa ideal buat para ibu 'healing', rehatkan minda seketika
Kawasan hotel yang luas dan sesuai untuk melakukan aktiviti santai.
Antara fasiliti menarik disediakan termasuk Kids Club, Splash Pool, Games dan Arcade Room.
Bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti santai di sekitar kawasan hotel, mereka turut menawarkan pelbagai jenis kenderaan elektrik yang sesuai digunakan oleh pengunjung dewasa dan kanak-kanak.
Ia secara tidak langsung menjanjikan pengalaman berharga buat keluarga yang ingin mencari kelainan ketika bercuti.
Splash Pool antara fasiliti menarik disediakan untuk kanak-kanak.
Bagi memastikan keselesaan penginapan, pengunjung turut ditawarkan pilihan bilik berkeluarga seperti Family Room dan Family Suite.
Dengan ruangan yang selesa, bersih dan luas sekali gus membuatkan hari anda lebih lancar dan gembira.
Ruangan bilik yang luas dan selesa digunakan oleh seisi keluarga.
Malah, restoran Makan Kitchen juga menyediakan pelbagai menu termasuk bufet mini untuk si kecil anda.
"Objektif kami adalah untuk menjadikan hotel ini sebagai pilihan utama bagi percutian santai bersama keluarga dengan pengalaman menyeronokkan, selamat serta penuh kenangan.
"Ia selaras dengan komitmen kami dalam menampilkan nilai teras jenama DoubleTree seperti prihatin (care) dan kehangatan (warmth) dengan layanan mesra, penuh perhatian serta suasana hospitaliti yang ikhlas," kata pihak pengurusan hotel.
Lebih lima jenis menu bufet disediakan di Makan Kitchen.
Pengalaman sama turut dikongsikan oleh personaliti media sosial, Intan Liana Salleh yang berkesempatan bercuti selama tiga hari dua malam di hotel tersebut.
Menurut Intan, hotel ini bukan sahaja memberi keseronokkan kepada anak-anaknya, malah turut dirasai oleh golongan ibu bapa sepertinya.
Intan Salleh dapat meluangkan masa bersama anak-anak dengan gembira dan tenang.
"Banyak sangat aktiviti yang boleh dibuat di sini, tiga hari dua malam pun rasa tak cukup.
"Anak-anak seronok bermain di kemudahan yang disediakan, siap ada permainan video seperti PS5 untuk remaja.
"Untuk ibu bapa, bagi saya satu kepuasan dan lebih teruja sebenarnya bila tengok anak-anak gembira," jelas ibu kepada empat cahaya mata itu.
Dengan kawasannya terletak berhampiran tasik Putrajaya, pengunjung juga boleh menikmati hari di sekitar kawasan itu.
Berikut merupakan antara lokasi dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Putrajaya bersama keluarga tercinta.
Anjung Floria yang dibuka secara percuma.
1. Anjung Floria
Terletak di Presint 4, Anjung Floria terkenal sebagai lokasi penganjuran Royal Floria Putrajaya iaitu festival bunga dan taman berskala antarabangsa.
Di sini, pengunjung boleh menikmati keindahan taman yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga.
Manakala, kawasan tepi tasik yang tenang turut menjadi pilihan keluarga untuk beriadah, berkelah, bergambar atau berbasikal sambil menikmati pemandangan indah Putrajaya.
Taman dengan seni bina China sesuai untuk bergambar.
2. Taman Persahabatan Malaysia-China
Dibina bagi memperingati hubungan diplomatik Malaysia dan China, taman ini menampilkan seni bina tradisional China dengan landskap yang penuh ketenangan.
Struktur menarik seperti pagoda, batu landskap, pintu gerbang hiasan dan kolam ikan koi menjadikannya lokasi bergambar yang sangat cantik.
Setiap binaan juga diselitkan dengan kisah dan penceritaannya tersendiri sekali gus memberi ilmu kepada kanak-kanak.
Suasana damai dan redup pula menjadikan ia sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Astaka Morocco menjadi tarikan utama di Taman Botani Putrajaya.
3. Taman Botani Putrajaya
Merupakan taman botani terbesar di Malaysia dengan keluasan lebih 90 hektar, Taman Botani menempatkan ribuan spesies tumbuhan dari Asia Pasifik dan Afrika.
Pengunjung boleh menikmati aktiviti seperti berjalan kaki, berbasikal, menaiki trem, atau menyusuri jambatan ikonik Canopy Walk.
Selain itu, terdapat antara ikon utama yang menjadi tarikan pelancong luar negara iaitu Astaka Morocco.
Dengan seni bina Maghribi kompleks, dihiasi dengan ukiran kaligrafi Islam yang indah, mozek berwarna-warni, ia menjadi salah satu 'spot' popular di taman ini.
Di dalamnya terdapat ruang pameran yang memaparkan artifak dan maklumat mengenai sejarah dan budaya Morocco.
Taman dalamannya direka mengikut gaya taman Islam tradisional, lengkap dengan air pancuran.
Lebih menarik, pengunjung boleh mengambil gambar dan masuk ke dalamnya secara percuma.
Cafe berkonsepkan taman dan selesa untuk menikmati hidangan ringan selepas beriadah.
4. Segar Café
Bagi yang ingin bersantai sambil menikmati hidangan tempatan dan barat, Segar Café di Presint 2 merupakan pilihan terbaik.
Terletak bersebelahan tasik Putrajaya, kafe ini menawarkan suasana santai dengan pemandangan indah terutama ketika matahari terbenam.
Ia sesuai untuk keluarga yang ingin menjamu selera selepas seharian beraktiviti di sekitar Putrajaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram