
TIDAK dapat digambarkan betapa hancurnya hati seorang wanita yang sedang sarat hamil apabila impiannya untuk memiliki sebuah kereta musnah dalam sekelip mata.
Berdasarkan luahan dimuat naik pengguna akaun Threads @nrftax_x baru-baru ini, dia mendakwa menjadi mangsa penipuan jual beli kereta.
Menurutnya, ia merupakan kereta pertamanya bagi memudahkan urusan melahirkan anak pada November nanti.
Kereta yang dikatakan sudah dibeli, namun gagal diterima daripada pihak pengurusan. — Threads
Lebih memilukan apabila kereta tersebut dibeli dengan menggunakan hasil usahanya menjalankan perniagaan demi merealisasikan impiannya.
"Aku sehancur-hancurnya sekarang. Aku berusaha bagai orang gila. Berniaga macam-macam sebab nak wujudkan impian nak ada kereta.
"Aku teruja sangat nak beli kereta ini. Aku tekad cari, kumpul duit sebab nak wujudkan impian ini.
"Tarikh bersalin aku bulan November, ingat nak beli sebab senang nanti kalau nak pergi hospital, nak senangkan anak," luahnya.
Dakwanya, kes penipuan tersebut melibatkan tiga pihak termasuk ejen dan pemilik sebenar kereta.
"Semalam (Isnin) kereta dah ada, tetapi tak boleh ambil kes dah dimanipulasikan.
"Pertemuan yang diadakan di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor rupanya perangkap," dakwanya.
Mangsa juga kini sedang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan buah pinggang.
Setakat ini, belum ada perkembangan terbaharu mahu pun kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kes tersebut.
Kisah wanita berkenaan secara tidak langsung mengundang simpati warganet yang mendoakan agar dia terus tabah menghadapi dugaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram